DOHA, 18 JAN – Penerbangan Qatar-Mesir pertama sejak kedua-dua negara Arab memutuskan hubungan pada 2017 berlepas dari Doha hari ini, menjadikan kehidupan lebih senang untuk ribuan penduduk Mesir di negara Teluk itu.
Mesir pada Jun 2017 menyertai Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dalam memutuskan hubungan dengan Qatar, menuduhnya terlalu rapat dengan Iran dan menyokong pelampau Islam, dakwaan yang dinafikan oleh Doha.
Keempat-empat negara bersetuju memulihkan hubungan pada sidang kemuncak Teluk pada 5 Januari di Arab Saudi, selepas beberapa siri aktiviti diplomatik oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump. Seramai 300,000 warga Mesir menganggap Qatar tempat tinggal mereka, menurut statistik, tetapi kebanyakan mereka tidak dapat pulang semasa krisis.
Penerbangan komersial pertama di antara Qatar dan Mesir dalam tiga setengah tahun, perkhidmatan EgyptAir ke Kaherah, berlepas dari lapangan terbang Doha hari ini.
Kapal terbang Qatar Airways juga dijangka mengadakan penerbangan ke Kaherah lewat hari ini. Mustafa Ahmed, 38, seorang jurutera teknikal Mesir, berkata: “Kami berasa amat gembira.
“Dengan penerbangan terus, kehidupan akan menjadi lebih senang, terutamanya untuk keluarga dan kanak-kanak, mengelak kesusahan menukar lapangan terbang dan kapal terbang menunggu berjam-jam untuk penerbangan transit,” beritahunya kepada AFP. – AFP
