Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN 18 MEI – Seramai 230 orang bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam berlepas ke Tanah Suci melalui penerbangan keempat dan yang terakhir musim haji tahun ini pagi tadi.
Penerbangan yang menggunakan pesawat Diraja Brunei (RB) BI4207 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan dijadualkan tiba di Madinah al-Munawwarah pada pukul 3:20 petang waktu tempatan.
Hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin; Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 113 orang lelaki dan 117 orang perempuan menyertai penerbangan berkenaan. Ini termasuk enam orang pegawai yang terdiri daripada pegawai perubatan Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dan pegawai dari Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) terdiri daripada Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) iaitu 3 orang dan Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) seramai 112 lelaki, 115 perempuan termasuk 3 pegawai.
Kesemua jemaah berkenaan akan dibimbing dan dipantau oleh para pegawai sepanjang berada di Tanah Suci.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin; Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin dan Datin, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri serta beberapa pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Kesihatan.
Majlis pelepasan jemaah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Haji Haris bin Haji Suboh dan laungan azan oleh Imam Tingkat III, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Hamdini bin Haji Garif.
Penerbangan berkenaan menandakan lengkapnya penghantaran kesemua kumpulan jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam bagi musim haji 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.
Semua di atas: Antara ahli bakal jemaah haji yang berlepas hari ini.