Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Seramai 230 orang bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam berlepas ke Tanah Suci pagi tadi melalui penerbangan keempat dan terakhir musim haji tahun ini.
Penerbangan yang menggunakan pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) BI4207 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan dijadualkan tiba di Madinah Al-Munawwarah pada pukul 3:20 petang waktu tempatan.
Hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, dan isteri; Menteri Pembangunan selaku Pemangku Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al-Buraithin.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 113 orang lelaki dan 117 orang perempuan menyertai penerbangan berkenaan.
Ini termasuk tiga orang pegawai perubatan Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (seorang lelaki dan dua perempuan), manakala dari Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) membawa 227 orang jemaah terdiri daripada 112 orang lelaki (termasuk tiga pegawai) dan 115 perempuan.
Kesemua jemaah berkenaan akan dibimbing dan dipantau oleh para pegawai sepanjang berada di Tanah Suci.
Turut hadir memberikan penghormatan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan isteri; Pemangku Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, dan isteri; dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, dan isteri serta beberapa pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Kesihatan.