Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerbangan terakhir kontinjen MALBATT 850-11 selamat tiba di Subang

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Penerbangan terakhir bagi kepulangan Kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT 850-11) bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) seramai 217 orang anggota telah pun selamat sampai di Pangkalan Udara Subang, Malaysia pada 20 November.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, menyatakan mengikuti penerbangan berkenaan ialah dua orang anggota yang terakhir dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) iaitu Mejar Mohammad Hafizi bin Sabli, selaku Ketua Kontinjen Negara Brunei Darussalam bagi MALBATT 850-11 dan Kapten (U) Mohammad Yusran bin Isak.

    Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan mereka ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Yang Berbahagia Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain, TLDM.

    Turut hadir ialah Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Yang Mulia Leftenan Kolonel Rudie Asmawi bin Haji Abidin, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli-ahli keluarga kontinjen MALBATT 850-11.

    Upacara perbarisan dimulakan dengan Tabik Hormat daripada kontinjen, diikuti dengan lagu ATM dan ucapan yang disampaikan oleh Tetamu Kehormat.  Laungan ‘Gempur Wira’ mengakhiri perbarisan dan disusuli dengan bacaan Doa.

    Ketibaan penerbangan yang terakhir itu, telah melengkapkan kepulangan kesemua anggota kontinjen MALBATT 850-11. Seterusnya, Majlis Pembubaran kontinjen MALBATT 850-11 akan diadakan pada 10 Disember di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia.

    Anggota-anggota ABDB daripada kontinjen MALBATT 850-11 pula akan kembali ke Negara Brunei Darussalam pada 11 Disember nanti.

      Antara anggota ABDB yang terlibat dalam ketibaan kontinjen berkenaan.- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda