GENEVA, 30 JUN – Pekerja mogok melumpuhkan operasi penerbangan di lapangan terbang Geneva selama beberapa jam hari ini, menyebabkan barisan panjang pada permulaan cuti musim panas yang sibuk.
Kira-kira 60 penerbangan dibatalkan selepas kakitangan berhenti kerja dari 6 pagi kerana pertikaian gaji.
Perlepasan dan pendaratan disambung semula kira-kira empat jam kemudian apabila kakitangan yang memandu pesawat di landasan kembali bekerja, walaupun persatuan pekerja mengundi untuk terus mogok sehingga Sabtu.
“Lalulintas telah diteruskan tetapi ia akan menjadi lebih perlahan daripada biasa,” kata jurucakap lapangan terbang Geneva, Ignace Jeannerat kepada AFP.
Puluhan pekerja mogok di hadapan pintu masuk utama lapangan terbang.
Penumpang berdiri dalam barisan panjang di dalam dan di luar lapangan terbang kedua terbesar Switzerland, yang merupakan pusat penting untuk syarikat penerbangan tambang murah EasyJet.
Sebilangan penerbangan antarabangsa dari Amerika Utara dan Timur Tengah telah ditangguhkan untuk tiba selepas mogok berakhir, menurut lapangan terbang di Twitter hari ini.
Mogok itu diadakan selepas lembaga lapangan terbang itu meluluskan kelmarin dasar gaji baharu yang dipertikaikan oleh kakitangan.
Ramai anggota polis dan keselamatan ditempatkan di hadapan terminal dan hanya penumpang untuk penerbangan yang dijadualkan selepas tempoh mogok dibenarkan masuk.
Ia merupakan mogok pertama oleh kakitangan yang dilakukan secara langsung di lapangan terbang bagi menentang subkontraktor. – AFP