TAWAU, 29 JULAI – Kedatangan pelancong antarabangsa ke Tawau disasar terus meningkat dengan adanya penerbangan terus dari Brunei, tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata penerbangan julung kali oleh Royal Brunei Airlines ke Tawau itu amat dialu-alukan kerana akan merancakkan sektor pelancongan sekali gus ekonomi negeri. Katanya, penerbangan itu dijangka bermula antara Oktober atau November ini.
“Ini (penerbangan terus) sangat bagus, dan kalau saya melawat ke sempadan kita iaitu Indonesia, saya harap mereka (Indonesia) juga ada menyediakan penerbangan terus ke Tawau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Menurut Liew, Tawau merupakan pintu masuk alternatif untuk pelancong asing ke pantai timur Sabah.
“Saya amat berazam dan akan (giat) mempromosi pelancongan Tawau dan Sabah,” katanya. Sebelum ini, Tawau, Lahad Datu serta Semporna dikenal pasti sebagai hab destinasi pelancongan di pantai timur Sabah.
Antara destinasi pelancongan menarik di Tawau adalah Balung River Eco Resort, Kawasan Perlindungan Imbak Canyon, Muzium Koko Teck Guan, Perkampungan Koko Teck Guan, Maliau Basin dan Bukit Gemok Tawau. – Bernama