Penerima Biasiswa Chevening dirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay hari ini meraikan penerima anugerah berprestij, Biasiswa Chevening 2019-2020, Awang Mohd Anwar Mohammad di kediamannya di Batu Satu.

Awang Mohd Anwar tidak lama lagi akan bertolak ke London bagi memulakan pengajian pasca siswazah sepenuhnya dalam MSc Inovasi Sosial dan Keusahawanan di London School of Economics (LSE) di United Kingdom yang merupakan institusi pendidikan ke-2 terbaik di dunia dalam sains sosial dan pengurusan.

Awang Mohd Anwar ketika berucap ringkas pada majlis meraikannya itu menjelaskan, “Menerima Biasiswa Chevening merupakan satu penghormatan besar kepada saya dan diharap dapat meningkatkan pendidikan saya di salah sebuah daripada 10 universiti terkemuka dunia.”

Beliau yang bekerja sebagai seorang Pegawai Pelaburan di Agensi Pelaburan Brunei, juga merupakan pengerusi dan pengasas Society for Community Outreach and Training (SCOT).

Menurutnya lagi, kursus pasca siswazah itu akan membolehkan beliau meneroka bidang pelaburan inovasi sosial yang pesat membangun.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Awang Mohd Anwar.
Awang Mohd Anwar dan keluarga bergambar ramai bersama TYT Richard Lindsay.

Kembalinya beliau ke Brunei kelak, beliau berharap akan dapat menyumbang ke arah pengamalan, tadbir urus dan keterangkuman pelaburan perusahaan sosial.

Manakala TYT Richard Lindsay, dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada Awang Mohd Anwar yang akan menyertai lebih 2,000 sarjana Chevening dari seluruh dunia memulakan pengajian mereka di UK.

“Apabila kembali ke Brunei, Awang Mohd Anwar akan menyertai kumpulan Alumni Chevening yang aktif dan mengekalkan hubungan rapat dengan Suruhanjaya Tinggi British,” tambahnya.

Semasa majlis perpisahan itu, Awang Mohd Anwar turut dialu-alukan menyertai keluarga Chevening oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari yang juga presiden Persatuan Alumni Chevening Brunei serta sarjana Chevening pada 2014-2015, bersama ahli alumni yang lain.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad; Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Haji Sofian bin Haji Mohd Jani; Penolong Pengarah Urusan BIA, Awang Ahmad Jefri Rahman, dan pegawai-pegawai kanan BIA.

Pesuruhjaya Tinggi British juga mengumumkan bahawa permohonan untuk Biasiswa Chevening untuk tahun akademik seterusnya (2020-2021) kini dibuka, dan permohonan dialu-alukan kepada individu yang di pertengahan kerjaya mereka yang dapat menunjukkan komitmen untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi Brunei.