Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Sebagai kesinambungan kepada Majlis Penganugerahan Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) 1438H/2017M di Istana Nurul Iman, majlis menandatangani perjanjian bersama para penerima anugerah biasiswa berkenaan juga telah diadakan di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Bangunan Yayasan, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengarah, Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Para penerima biasiswa menandatangani perjanjian tersebut bersama dengan dua orang penjamin yang terdiri daripada ibu bapa mereka atau ahli keluarga terdekat. Manakala itu, menandatangani bagi pihak Yayasan pula ialah Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny bersama Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa dengan disaksikan oleh tetamu kehormat majlis.
Para penerima biasiswa berkenaan ialah Awang Muhammad ‘Azim bin Abdul Hadi yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan Lughah Arabiah di Universiti Al-Azhar, Mesir; Dayang Amal Aqilah Fathiah binti Haji Abdullah yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Veterinary Medicine’ di University of Cambridge, United Kingdom; Teo Zhi Perng yang akan meneruskan pengajian dalam jurusan ‘Materials Science and Engineering’ di Imperial College London, United Kingdom dan Dayang Nurul Syadirah binti Awang yang meninggikan tahap pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang ‘International Public Policy’ di University College London, United Kingdom.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan khusus bagi penerima-penerima anugerah biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan yang akan berlepas meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada akhir September ini. Bacaan Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Amin bin Haji Salim.
Turut hadir di majlis itu ialah sebahagian timbalan-timbalan pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja bagi Perlaksanaan Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ Yayasan, para ibu bapa dan ahli keluarga penerima anugerah, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan.
Salah seorang penerima biasiswa yang sempat ditemui, Dayang Amal Aqilah Fathiah melahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah Biasiswa Sultan’s Scholar.
Menurutnya, beliau dianugerahkan biasiswa tersebut kerana pencapaiannya memasuki universiti tinggi dan gred beliau semasa menduduki peperiksaan ‘A’ level dengan mendapat dua ‘A*’ dan satu A dalam subjek biologi, kimia dan matematik.
“Pembelajaran ini nanti akan menjadi satu cabaran tetapi saya memahami itu dan bersedia untuk berusaha,” ujarnya.
Teo Zhi Perng pula menyampaikan penghargaannya kehadapan majlis Baginda Sultan atas pengurniaan anugerah biasiswa tersebut. “Saya juga rasa gementar kerana ini sebagai langkah besar kami pada waktu yang sama gembira akan masa depan. Antara sebab saya dipilih untuk menerima biasiswa ini, saya percaya adalah kerana daripada kemahiran kepimpinan saya dan komunikasi,” ujarnya.
Dengan adanya biasiswa seumpama ini akan dapat melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan agama, raja dan negara.
Skim Biasiswa Sultan’s Scholar Yayasan bertujuan untuk melahirkan kemuncak kecemerlangan di kalangan pelajar rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berpelajaran tinggi, berkemahiran dan berdisiplin tinggi yang mampu menerajui pembangunan negara pada masa akan datang.
Tujuan ini sejajar dengan salah satu matlamat Wawasan 2035 iaitu menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali di seluruh dunia dengan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Sehingga tahun ini, seramai 46 orang penuntut telah dianugerahkan biasiswa tersebut sejak ia diperkenalkan pada tahun 2006.
Satu lagi perkembangan yang telah dicapai melalui skim biasiswa ini, adalah apabila Yayasan memperkenalkan skim meninggi tahap pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah bermula 2013.
Enam orang penerima biasiswa telah disokong untuk mengikuti skim meninggi tahap pengajian ini.