Oleh Sim Y. H.
SERIA, 30 Mei – Merasa amat berbesar hati, bersyukur dan gembira atas kurnia peribadi serta keprihatinan Baginda Sultan terhadap kebajikan rakyat yang kurang bernasib baik, itulah perasaan yang diungkapkan oleh orang ramai ketika ditemu bual oleh wartawan Media Permata pagi tadi selepas mereka menerima kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada golongan tertentu bagi Daerah Belait.
Pada majlis yang berlangsung di Pusat Insani, Seria, hari ini, salah seorang penerima berkeperluan khas, Liew Yong Sing merakamkan perasaan gembira serta menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia peribadi serta kemurahan hati Baginda kepada sebila-ngan rakyat yang kurang bernasib baik.
Liew bagi mewakili orang berkeperluan khas Daerah Belait, menyembahkan perasaan gembira serta menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat Baginda.
Beliau menyatakan bahawa kurnia itu akan digunakan sebaik-baiknya bagi menampung perbelanjaan seharian serta percaya pemberian kurnia seumpama ini akan dapat membuahkan hasil dan berfaedah kepada rakyat Brunei yang menerimanya.
Bagi penerima warga emas, Haji Ramli, seorang pesara kakitangan kerajaan, beliau merakamkan perasaan amat terharu dan bersyukur dengan kemurahan hati Baginda Sultan dengan memberikan kurnia kepada sebilangan rakyatnya. Beliau menjelaskan bahawa dengan kurnia yang diberikan ini menunjukkan Baginda Sultan merupakan seorang raja yang pemurah dan adil, yang mana kurnia peribadi Baginda telah diberikan kepada sebilangan rakyat Brunei termasuk orang yang bukan Islam, turut menerima kurnia tersebut.
Selaku wakil kepada rakyat di Daerah Belait yang menerima kurnia peribadi Baginda, beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta mendoakan semoga Baginda dan kerabat diraja akan dikurniakan perlindungan Allah dan dilanjutkan usia.