Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penerima kurnia lahir rasa syukur

    Oleh Nurdiyanah R. & Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kegembiraan yang mendalam jelas tergambar di setiap wajah penerima anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara kerana saat yang dinanti-nantikan untuk memiliki rumah sendiri telah tercapai berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kepentingan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

    Salah seorang penerima yang ditemui pada majlis penganugerahan anak kunci di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini, Dayang Zarina binti Jumat melahirkan rasa syukur atas penerimaan kunci rumah kurnia Baginda Sultan yang telah dinantikannya selama 15 tahun sejak permohonanannya pada tahun 2002.

    Jururawat di Bahagian Kesihatan Cara Kerja, Kementerian Kesihatan itu merupakan penerima rumah kembar di RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri.

    Seorang lagi penerima yang berasal dari Daerah Temburong, Awang Jasni bin Haji Abdul Rahman yang juga penerima rumah kembar di bawah RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri telah melahirkan rasa berbesar hati dan gembira di atas penyerahan kunci rumah kembar sejak diperkenankan pada tahun 2004.

    “Dengan adanya rumah di Daerah Brunei dan Muara sudah setentunya memberi kemudahan ketika berurusan dengan pihak-pihak tertentu,” ujar beliau yang bertugas di Jabatan Imigresen, Daerah Temburong.

    Dayang Zarina selaku salah seorang penerima kunci rumah kembar di RPN Kampung Panchor Mengkubau, melahirkan rasa syukur atas penerimaan kunci rumah kurnia Baginda Sultan yang telah dinantikannya selama 15 tahun.
    Dayang Ermiza dan Hajah Hafilah masing-masing menerima anak kunci rumah kembar di RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri pada majlis pagi kelmarin.
    Awang Jasni merasa berbesar hati dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan kunci rumah berkenaan.

    Beliau sangat menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana prihatin terhadap keperluan rakyat Brunei Darussalam seperti pengurniaan kunci rumah berkenaan.

    Penerima anak kunci rumah kembar di Jalan Bukit Bintagur, RPN Kampung Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri, Dayang Ermiza Kameliawati binti Serpini pula meluahkan perasaan teruja atas penerimaan anak kunci rumah yang tidak begitu lama dinanti sejak diperkenankan pada tahun 2016.

    “Dengan adanya rumah kembar ini, sudah setentunya dapat memberi kesenangan kepada suami dan anak-anak kerana sebelumnya masih menyewa di Flat Guru di Kiarong selama tujuh tahun,” jelas Ermiza lagi.

    Bagi Hajah Hafilah binti Haji Ajimain pula, penantian selama 17 tahun untuk memiliki rumah sendiri merupakan suatu yang sangat dinanti-nantikan selama ini kerana sebelumnya masih bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda