(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Hibah merupakan amalan sunat dan digalakkan dalam Islam. Hibah termasuk di bawah pengertian ‘athiyyah atau pemberian selain sedekah dan juga hadiah. Namun ketiga-tiganya adalah berbeza dari segi tujuan dan maksud seseorang ketika menyampaikannya kepada si penerima.
Hibah dari segi syara‘ bermaksud pemindahan hak milik sesuatu harta atau benda kepada orang lain tanpa ada pertukaran atau balasan, yang dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup, dan diberikan secara sukarela dengan ijab (penawaran) dan qabul (penerimaan).
Sighah (ijab dan qabul) merupakan salah satu daripada rukun hibah di samping rukun-rukun yang lain iaitu orang yang memberi hibah, orang yang menerima hibah dan harta yang dihibahkan. Ijab dan qabul berkaitan dengan pemilikan hendaklah dilaksanakan secara berlafaz bagi orang yang boleh berkata-kata atau dengan isyarat bagi orang yang bisu.
Contoh ijab yang dilafazkan oleh orang yang memberi hibah: “Saya hibahkan barang ini kepadamu” atau “saya milikkannya kepadamu” atau “saya anugerahkannya kepadamu”.
Manakala contoh lafaz qabul: “Saya menerima” atau “saya redha”. Begitu juga ijab dan qabul dalam hibah boleh dibuat dengan tulisan yang disertai dengan niat. Sebagai contoh orang yang memberi hibah menulis: “Ini untukmu”.

Walau bagaimanapun, perlaksanaan hibah belum terjadi hanya dengan adanya sighah (ijab dan qabul) daripada kedua belah pihak semata-mata. Ini kerana perpindahan hak milik bagi harta atau barang yang dihibahkan belum dikira terjadi selagi belum berlaku qabdh (penerimaan) barang atau harta tersebut di pihak penerima.
SYARAT QABDH (PENERIMAAN) DALAM HIBAH
Qabdh iaitu penerimaan harta atau barang di pihak penerima merupakan syarat bagi menetapkan harta hibah itu telah sempurna menjadi milik orang yang menerima hibah.
Qabdh (penerimaan barang) bermaksud pemilikan ke atas barang yang diterima yang membolehkan penerima untuk melakukan tindakan dan transaksi terhadap barang tersebut.
Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Minhaj ath-Thalibin menyebutkan:
Dan tidak dimiliki oleh penerima barang yang diberikan melainkan dengan penerimaan (barang pemberian) dengan izin pemberi.
Penerimaan orang yang diberi hibah terhadap harta hibah itu pula boleh terjadi sama ada dengan penyerahan harta oleh orang yang memberi itu sendiri kepadanya atau dengan keizinan orang yang memberi untuk menyerahkan harta hibah itu kepadanya atau dengan keizinan daripada wakil orang yang memberi untuk orang yang diberi harta hibah.
Keizinan orang yang memberi hibah dan penerimaan harta hibah oleh orang yang menerima hibah adalah amat penting dalam proses menetapkan terjadinya penerimaan harta hibah. Sekiranya harta hibah itu berada di tangan penerima tanpa ada izin orang yang memberi atau wakilnya, juga belum memadai untuk dianggap sebagai satu penerimaan harta hibah. Ini kerana pemilikan harta yang diterimanya hanya menjadi miliknya setelah ada berlakunya penerimaan dan keizinan orang yang memberi atau wakilnya.
Begitu juga, perpindahan hak milik bagi harta yang dihibahkan belum terjadi selagi belum berlaku penerimaan harta walaupun sudah ada keizinan daripada orang yang memberi atau wakilnya. Sekiranya penerimaan harta belum berlaku, maka pemberi hibah atau wakilnya masih lagi berhak ke atas harta hibah tersebut dan dia boleh menariknya balik selagi harta hibah belum diserahkan kepada penerima hibah.
CARA QABDH DALAM MENETAPKAN HIBAH
Qabdh (penerimaan) harta dalam hibah adalah sama seperti qabdh (penerimaan) dalam perkara jual beli. Namun terdapat perbezaan cara qabdh (penerimaan) harta yang dihibahkan mengikut bentuk atau sifat harta tersebut. Cara penerimaan harta tidak alih seperti hartanah adalah berbeza dengan cara penerimaan harta alih seperti kereta atau barang-barang kemas.
Cara qabdh (penerimaan) harta tidak alih seperti tanah atau rumah atau yang seumpamanya adalah dengan cara pemberi melepaskannya atau mengosongkannya bagi membolehkan orang yang diberi hibah untuk menguasai dan melakukan tasharruf terhadapnya atau dengan lafaz yang menunjukkan pelepasan atau pengosongan harta oleh orang yang memberi hibah jika dia mempunyai hak untuk menahan harta hibah tersebut. Contohnya, dia berlafaz: “Aku lepaskan rumah ini kepada tuan.”
Cara qabdh (penerimaan) harta hibah yang berkunci seperti rumah dan kuncinya ada pada orang yang memberi adalah dengan penyerahan kunci kepada orang yang diberi hibah selain pengosongannya. Pengosongan dengan disertai sijil atau dokumen rasmi juga merupakan cara yang dianggap sebagai qabdh (penerimaan). Sebagai contoh, A menghibahkan sebuah rumah kepada B, lalu A mengosongkan rumah tersebut dan mendaftarkannya di bawah nama B. Maka pensijilan ini dianggap sebagai qabdh (penerimaan).
Selain itu, qabdh (penerimaan) harta hibah juga boleh dilakukan dengan pengasingan harta hibah dengan harta yang lain yang tidak dihibahkan, dan pengasingan tersebut berdasarkan kepada ‘urf (adat atau kebiasaan sesuatu tempat). Sebagai contoh A memecah geran tanahnya kepada beberapa lot dan satu lot dihibahkannya kepada B secara bersurat.
Manakala cara qabdh (penerimaan) bagi harta alih seperti kenderaan atau binatang, adalah dengan memindahkannya dari tempat asalnya ke tempat lain. Manakala qabdh bagi harta yang ringan yang kebiasaannya diserah atau diambil dengan tangan seperti wang, pakaian atau barang-barang kemas boleh berlaku dengan penyerahan harta hibah ke tangan penerima atau diletakkan di hadapan penerima sekira-kiranya boleh untuk dicapainya, sama ada diletakkan sebelah kirinya, kanannya atau belakangnya. Begitu juga cara qabdh (penerimaan) bagi harta mudah alih ini adalah dengan mengasingkan harta hibah dengan harta-harta lain.
‘Urf (adat atau kebiasaan) bagaimana cara suatu masyarakat itu melakukan qabdh (penerimaan) juga boleh dilihat sebagai salah satu cara qabdh (penerimaan) yang menentukan sah akad hibah. Ini bererti, jika ‘urf sesuatu tempat atau masyarakat itu menyatakan bahawa sesuatu perbuatan itu merupakan qabdh, maka ia dianggap sebagai qabdh (penerimaan) yang sah berdasarkan ‘urf yang terpakai itu.