Sambungan minggu lepas
BAGAIMANA JIKA BERLAKU KEMATIAN SEBELUM QABDH?
Jika pemberi hibah atau penerima hibah meninggal dunia sebelum qabdh (penerimaan) berlaku, maka ahli waris akan menggantikan tempat si mati dalam penerimaan hibah sekiranya si mati adalah penerima atau ahli waris akan menggantikan tempatnya dalam penyerahan hibah sekiranya dia adalah pemberi. Kematian yang berlaku kepada salah satu daripada keduanya tidak membatalkan akad kerana penggantian tempat si mati oleh ahli warisnya juga membawa kepada berlakunya hibah.
Al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyebutkan:
Jika salah seorang dari keduanya meninggal dunia iaitu orang yang memberi atau orang yang diberi hibah di antara waktu hibah dan qabdh (penerimaan), maka akad hibah tidak terbatal.
Dan waris pihak pemberi akan mengambil alih untuk penyerahan dan keizinan untuk qabdh (penerimaan), dan waris pihak orang yang diberi pula akan mengambil alih untuk urusan qabdh (penerimaan).
Walau bagaimanapun dalam perkara qabdh (penerimaan) harta hibah, jika pemberi hibah meninggal dunia setelah berlakunya akad hibah, tetapi qabdh (penerimaan) barang hibah belum berlangsung, maka kuasa untuk memberi izin bagi melaksanakan qabdh (penerimaan) harta hibah adalah tertakluk kepada ahli waris pihak pemberi, sama ada ingin meneruskan penyerahan harta hibah ataupun sebaliknya.
Dapat disimpulkan bahawa dalam mazhab Syafi’i, qabdh (penerimaan) merupakan syarat yang mesti dalam menyempurnakan pemberian dalam perkara hibah. Akad hibah belum dianggap sempurna dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas berlakunya qabdh (penerimaan).
Sekiranya qabdh (penerimaan) tidak berlaku, maka pemberi hibah atau warisnya berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta tersebut masih berada dalam pemilikannya.


