BEIJING, 29 MAC – Isteri Presiden China, Xi Jinping, Profesor Peng Liyuan menerima kunjungan wakil guru dan pelajar sekolah menengah dari Jerman yang merupakan ahli Koir Mandarin Burg Gymnasium di Beijing kelmarin.
Profesor Peng mengucapkan tahniah kepada wakil guru dan pelajar koir Mandarin berkenaan yang mencapai hasil menggalakkan dalam menyebarkan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara dalam tempoh 10 tahun lepas.
“Dengan usaha bersama, koir ini telah berjaya membina satu jambatan pertukaran budaya antara China dengan Jerman, sekali gus menjadi simbol persahabatan kedua-dua negara kita,” kata Profesor Peng.
Beliau berharap pelajar itu dapat merasai keindahan budaya China melalui melodi merdu dan menjadi duta persahabatan China-Jerman bagi generasi baharu.
Presiden persatuan koir itu, Olaf Millmann turut mengucapkan terima kasih kepada Profesor Peng yang sentiasa memberikan perhatian dan sokongan kepada koir berkenaan.
Beliau yakin lebih ramai belia Jerman akan memahami dan berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai negeri China dengan mendendangkan lagu Mandarin.
“Koir itu akan terus membina jambatan pertukaran melalui muzik dan bahasa Mandarin agar menyumbang kepada peningkatan persefahaman dan persahabatan dalam golongan belia antara China dan Jerman,” katanya. – Bernama