Wednesday, April 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengadil tempatan diseru terus aktif

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Pengadil bola sepak perlu memiliki empat ciri khusus iaitu kecergasan, pengetahuan terperinci mengenai undang-undang permainan, berdisiplin dan memiliki personaliti tepat dari segi pakaian dan penampilan diri yang dapat menarik semua orang agar para pemain menghormati mereka.

    Kecergasan sangat dititik beratkan oleh FIFA kerana permainan sekarang sangat pantas sehingga menyebabkan pengadil perlu sentiasa berlari selama 90 minit perlawanan atau lebih, jelasnya sambil menyeru semua peserta kursus supaya rajin menghadirkan diri bagi latihan pada setiap Jumaat dan Ahad.

    ExCo Persekutuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil NFABD, Awang Zulkifli bin Haji Duraman ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Pengadil Bola Sepak Kelas 3 2017 seterusnya menjelaskan pengetahuan menyeluruh mengenai undang-undang permainan.

    Menyentuh mengenai disiplin, menurutnya pengadil bukan saja perlu datang belatih pada hari-hari yang ditetapkan, tetapi juga perlu belatih sendiri selain rajin mengulangkaji undang-undang permainan.

    Beliau seterusnya menyeru para pengadil baru agar kekal aktif dan tidak menghilang selepas menerima sijil masing-masing kerana pengalaman beliau sebelum ini mendapati hanya dalam kadar lima daripada 20 orang yang menyertai kursus masih kekal aktif.

    Awang Zuklifli ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
    Awang Zuklifli ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

    Menurutnya lagi pada majlis di NFABD House itu, jika kesemua 20 orang peserta itu kekal aktif, masalah kekurangan pengadil di negara ini akan dapat diatasi, lebih-lebih lagi NFABD sangat memerlukan pengadil untuk mengadili Liga Bawah 16 Tahun dan Liga Bawah 18 Tahun yang akan dijalankan bermula Mac 2017 nanti.

    Dalam ucapan penutupnya itu, beliau turut mengongsikan berita gembira mengenai salah seorang pengadil tempatan telah berjaya mendapat pengiktirafan selaku Pengadil Elit AFC selepas lulus ujian kecergasan khusus yang telah dijalankan baru-baru ini.

    “Kamu semua berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pengadilan bola sepak sehingga mencapai tahap sedemikian, jika kamu kekal aktif dan memiliki keempat-empat ciri khusus pengadil bola sepak berkenaan,” tambahnya.

    Seramai 20 orang individu telah menyertai kursus yang dijalankan pada Jumaat dan Ahad bermula pada 27 Januari lalu dan berakhir hari ini, di bawah tunjuk ajar lima orang tenaga pengajar tempatan yang sangat berpengalaman iaitu Pengiran Haji Aliudin bin Pengiran Haji Tajudin, Awang Yusofzaki bin Haji Serudin, Awang Yusof bin Abdullah, Awang Degat Anak Chandau dan Awang Mohd Dzulfikri bin Haji Mohd Taib.

    Hadir sama ke majlis penutup berkenaan ialah Penolong Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pemangku Ketua Jabatan Pengadil NFABD, Haji Hamidon bin Haji Matzin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda