Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Walaupun ketiadaan sebarang pertandingan bola sepak dilangsungkan di negara ini akibat pandemik COVID, para pengadil tempatan yang diperakui oleh FIFA telah dilantik untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa seperti Piala AFC.
Presiden Persatuan Pengadil Bolasepak Negara Brunei Darussalam (PPBD), Haji Hamidon bin Mohd Zain berkata sedemikian semasa majlis Sambutan Hari Raya anjuran PPBD yang diadakan kelmarin.
Dalam ucapan alu-aluan, beliau berkata, “PPBD merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) yang memberikan sokongan berterusan seperti membawa kepakaran dari luar negara untuk bersama-sama meningkatkan mutu pengadilan negara.”
Beliau turut menyentuh mengenai peranan PPBD dalam memberikan kerjasama kepada FABD untuk bersama-sama membantu pembangunan pengadil di negara ini.
Beliau juga menekankan bahawa pembatalan liga domestik yang dianjurkan oleh FABD disebabkan oleh sekatan COVID secara tidak langsung memberi kesan kepada persatuan pengadil.
“Namun begitu, pengadil tempatan masih menjalankan latihan kecergasan dua kali seminggu pada hari Jumaat dan Ahad manakala terdapat juga pengadil elit yang diperakui oleh FIFA yang berlatih lebih daripada dua kali seminggu,” tambah beliau.
Bercakap mengenai aktiviti baru-baru ini, latihan kecergasan telah dijalan-kan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.