Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang telah diamanahkan mula mengagih-agihkan buah kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena bulan Ramadan kepada anak-anak buah kampung di bawah jagaan mereka.
Bagi memastikan pembahagian buah kurma kurnia Baginda Sultan dikendalikan dengan sempurna, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyediakan tatacara pembahagian dan borang khas yang diedarkan melalui dalam talian dan seterusnya mengagihkan kepada penghulu dan ketua kampung serta banyak lagi.
Susulan wabak COVID-19, pengagihan diadakan secara berperingkat bagi mengelakkan daripada perkumpulan ramai.
Pemangku Ketua Kampung RPN Meragang, Awang Hadi bin Musalim yang juga ditugaskan mengagihkan kurma-kurma berkenaan kepada penerima mengongsikan bahawa sebanyak 40 kotak kurma telah diagihkan kepada yang berhak yang terdiri daripada penduduk di RPN meragang. Pengagihan 40 kotak kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, ujarnya, adalah sesi pertama dan selebihnya akan dihantar lagi melalui Yayasan.
Beliau berkata, semasa pengagihan berkenaan, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan hadir untuk mengambil kurma-kurma berkenaan.
Mereka yang hadir harus melalui pemeriksaan suhu badan dan memastikan diri dalam keadaan sihat untuk menjaga keselamatan bersama bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sehubungan itu, semua ketua kampung dan mereka yang berkenaan yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengagih-agihkan buah kurma berkenaan diharap akan mengikuti tatacara pembahagian yang ditetapkan dan juga kebijaksanaan masing-masing supaya buah kurma kurnia peribadi Baginda tersebut diterima dengan baik dan sempurna, seterusnya dinikmati oleh setiap orang yang beragama Islam di negara ini sebagai juadah berbuka puasa semasa Ramadan ini.

