Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Para tenaga pengajar Al-Quran disarankan supaya terus mengukuhkan kemahiran masing-masing demi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Al-Quran dalam kalangan pelajar.
Ini kerana tenaga pengajar Al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi ugama, mereka dianggap sebaik-baik manusia.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara bagi Tahun 2025 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Dalam titah, Baginda sangat mengharapkan setiap pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan Al-Quran dapat disampaikan dengan bersungguh-sungguh oleh para guru yang benar-benar berkelayakan, yang memiliki semangat tinggi menghayati Al-Quran serta ilmu-ilmu di dalamnya.
“Inilah harapan Beta dan harapan negara ingin melihat guru-guru yang berkaliber khasnya guru-guru Al-Quran yang mampu untuk melahirkan generasi cemerlang dalam bidang Al-Quran,” titah Baginda lagi.
Baginda seterusnya bertitah, kerajaan Baginda akan tetap memberi keutamaan kepada bidang pengajaran Al-Quran selaras dengan tuntutan supaya seluruh rakyat yang beragama Islam di negara ini pandai membaca Al-Quran.
Sementara itu, menyentuh mengenai tema sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini iaitu Akal Sihat Dengan Al-Quran, titah Baginda, tema tersebut menekankan betapa Al-Quran turut berfungsi untuk memelihara akal di antaranya supaya akal itu sentiasa sihat.
“Akal adalah alat satu-satu untuk menunjukkan kita jalan yang lurus lagi sempurna, titah Baginda, dan akal juga yang membezakan antara manusia dan lain-lain makhluk,” titah Baginda.
Baginda seterusnya bertitah, “tidak diragukan lagi bahawa akal adalah anugerah Allah SWT yang amat besar kepada manusia dan dengan akal kita dapat memahami dan melaksanakan segala ajaranNya, dan oleh itu, Al-Quran sangat menekankan betapa pentingnya memelihara akal.”
Dalam Al-Quran terdapat ayat yang melarang kita merosakkan akal seperti melarang meminum minuman keras, dan apa juga benda yang memabukkan.
“Orang yang mabuk akalnya rosak, dan ini termasuk juga yang dilarang itu menyalahgunakan dadah yang juga dilihat sebagai pasti merosakkan akal,” tegas Baginda lagi.