Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Kursus Peningkatan Pakar dalam Robotik dan Sistem Pintar yang diadakan selama dua minggu bermula dari 24 Jun hingga 5 Julai lalu, telah ditutup tirainya dengan majlis penyampaian sijil yang berlangsung baru-baru ini, di ITE Central, Singapura.
Majlis penutup dan penyampaian sijil turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi, Institut Pendidikan Teknikal, Perkhidmatan Pendidikan (ITEES) Singapura, Lim Boon Tiong, dan Pengarah Kanan Yayasan Temasek, Singapura, Tan Shin Gee.
Kursus yang disertai seramai 20 orang tenaga pengajar TVET dari 10 buah negara anggota SEAMEO iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Timor Leste dan Vietnam itu telah berjaya menamatkan kursus selama dua minggu itu.
Kursus yang dianjurkan dan dikendalikan oleh ITEES dengan kerjasama Pusat Serantau TVET SEAMEO VOCTECH itu adalah sebahagian daripada Program Peningkatan Kemahiran Teknikal (TSUP) untuk Guru TVET di Asia Tenggara.
Latihan dua minggu itu mendedahkan pengajar TVET kepada asas robotik, sistem pintar, pengaturcaraan robotik industri dan kolaboratif.
Kursus tersebut menekankan praktikal dan pembelajaran secara langsung dan direka bentuk untuk membolehkan para peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh oleh mereka tentang amalan pengajaran mereka dan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka.
Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek, dalam ucapannya semasa majlis penutup telah memuji kemajuan yang dilakukan oleh Singapura dalam penggunaan teknologi baharu dan usaha teknologinya untuk melonjakkan pengetahuan tersebut ke seluruh rantau ini.
“Singapura menjadi pendahulu dalam latihan berasaskan teknologi di rantau ini. Kami amat menghargai usaha negara berkenaan untuk membantu negara anggota ASEAN yang lain untuk turut memartabatkan dan menambah baik kehebatan teknikal mereka.
“Ini adalah keperluan kritikal kami dalam TVET, di mana kami mesti menyelaraskan kurikulum kami dengan keperluan industri terutamanya dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan sistem pintar,” kata Haji Norjemee.
Di samping menimba ilmu tentang amalan terbaik untuk memimpin dan mengurus institusi TVET dalam era IR4.0 yang berkesan, peserta akan meningkatkan lagi kemahiran teknikal mereka melalui Bengkel Perkongsian Pasca Latihan (PSWS) selama seminggu.
Semasa bengkel berkenaan, pengajar dan jurulatih akan meningkatkan pembelajaran mereka daripada TSUP di negara asal mereka, di bawah seliaan SEAMEO VOCTECH, bagi memberi manfaat kepada mereka yang tidak menghadiri latihan di Singapura.
Menurut kenyataan Seameo Voctech, TSUP telah berjaya melahirkan lebih 271 jurulatih selama ini dan berjaya berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dengan lebih daripada 1,767 peserta di seluruh rantau ini.
Latihan berkenaan menandakan pusingan ketiga dan telah memperluaskan penerimanya untuk memasukkan yang bukan hanya guru dan jurulatih tetapi juga pemimpin sekolah, pengurus dan pakar TVET dalam Industri 4.0.


