Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) tidak ketinggalan memperingati Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dengan menekankan kesedaran kesihatan mental semasa Perjumpaan Mingguan ke-10 bagi kegiatan kokurikulum Pengakap Semester 1, 2022.
Sesi Kesihatan Mental itu telah disampaikan oleh pensyarah dan pemimpin Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, Dr Muhammad Alif bin Haji Sismat. Ia bertujuan untuk menarik perhatian para pelajar yang juga sebagai ahli Pengakap Kelana mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan mental dengan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan kerohanian serta saling memberikan sokongan kepada mereka yang mengalami kesihatan mental.
Kesihatan mental merupakan salah satu keutamaan komuniti kesihatan global, sesuai dengan tema sambutan 2022, iaitu ‘Jadikan Kesihatan dan Kesejahteraan Mental untuk Semua Satu Keutamaan Global’ yang juga sejajar dengan satu objektif pembelajaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu objektif pembelajaran nombor 3, kesihatan dan kesejahteraan yang baik.
Sesi perjumpaan berkenaan diteruskan dengan taklimat mengenai kegiatan pengenalan Jambori di Udara (JOTA) dan Jambori di Internet (JOTI) yang akan dijalankan serentak di seluruh dunia pada 14 hingga 16 Oktober, yang disampaikan oleh Jurulatih Pengakap Kelana UNISSA, Awang Zainudin bin Haji Ishak untuk ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA 4.


