Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengakap Tunas main peranan bentuk peribadi unggul

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Pengakap Tunas, sebagai asas kepada perjalanan kepengakapan, memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi unggul sejak dari usia dini.

    Melalui aktiviti-aktiviti yang bersifat mendidik, mencabar dan membina keyakinan diri, ia telah berjaya melahirkan ahli-ahli muda yang celik nilai, bertanggungjawab serta memiliki semangat sedia berbakti kepada masyarakat dan negara.

    Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), semasa berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam dan Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD, pagi tadi.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersabda dengan merakamkan kesyukuran atas pencapaian Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam yang amat bermakna dalam menyemarakkan lagi semangat berpengakap dalam kalangan generasi muda, bahkan juga melambangkan komitmen berterusan PPNBD dalam mendukung usaha pembangunan modal insan yang berdisiplin, berintegriti dan berjiwa kebangsaan selaras dengan aspirasi dan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Keberhasilan pencapaian ulang tahun berkenaan, sabda Duli Yang Teramat Mulia, adalah berkat hasil kerjasama dan dedikasi semua pihak dalam sama-sama memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda melalui nilai-nilai pengakap sebagai tunjang kepada pembangunan jati diri dan semangat kesukarelawanan dalam masyarakat.

    “Selaku Ketua Pengakap Negara, saya turut berasa bangga mengikuti perkembangan dan pencapaian PPNBD di sepanjang 75 tahun tertubuhnya pasukan Pengakap Tunas. Ia jelas mencerminkan usaha gigih semua pihak dalam memperkasakan pergerakan pengakap sebagai wahana pembangunan sahsiah dan kepimpinan bagi barisan generasi pelapis sebagai pewaris bangsa dan negara,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia turut bersabda mengucapkan syabas kepada semua pihak yang telah bekerja keras dengan berbekalkan semangat tinggi dalam usaha menubuhkan Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap (PLPP) yang akan menjadi landasan penting bagi pengembangan ilmu, kemahiran, serta jati diri ahli-ahli pengakap pelbagai peringkat.

    Dengan beroperasi sepenuhnya PLPP, Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda dengan menaruh keyakinan hasrat PPNBD untuk membangunkan pusat kecemerlangan latihan, kepimpinan dan penyatuan seluruh warga pengakap di negara ini akan dapat dicapai termasuk sumbangan langsungnya ke arah melahirkan masyarakat yang resilien.

    Dalam masa yang sama, Duli Yang Teramat Mulia turut menghargai peranan pucuk pimpinan PPNBD termasuk para sukarelawan serta ibu bapa yang tidak mengenal lelah dalam menyumbang bakti, tenaga, dan masa demi memastikan kejayaan dan juga kesinambungan gerakan berpengakap di negara ini.

    “Seiring dengan semangat ‘selalu bersedia’, saya berkeyakinan nilai-nilai jati diri pengakap akan dapat memacu dan menjana kejayaan dalam kehidupan seharian termasuk di luar konteks pergerakan pengakap dengan kesiagaan untuk menanai dan memikul tanggungjawab sebagai warga negara yang berjiwa patriotik, berakhlak mulia dan berpandangan jauh,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Dalam sabda, Duli Yang Teramat Mulia juga merakamkan setinggi penghargaan kepada kementerian-kementerian serta agensi-agensi kerajaan, khususnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Kementerian Pendidikan atas komitmen dan sokongan padu yang berterusan dalam bersama-sama menyumbang kepada usaha-usaha memajukan pergerakan pengakap khususnya dan juga pergerakan pasukan-pasukan kadet beruniform lainnya di negara ini.

    “Dalam hubungan ini, saya juga gembira mengambil maklum bahawa sebahagian besar pemimpin pengakap adalah terdiri daripada kalangan guru-guru. Maka, sokongan bersepadu daripada pihak sekolah dan keseluruhan Kementerian Pendidikan adalah amat signifikan ke arah memperkukuh peranan kepimpinan pasukan Pengakap Tunas sebagai teras kepada kelangsungan keseluruhan gerakan berpengakap di peringkat kebangsaan dan global,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Di akhir sabda, Duli Yang Teramat Mulia menaruh keyakinan PLPP yang baharu itu, selain akan menjadi mercu tanda bagi kemajuan dan kecemerlangan kegiatan berpengakap, ia juga akan menjadi pusat kecemerlangan yang lengkap dan berupaya melahirkan anggota pengakap yang memiliki jati diri dan mengamalkan nilai-nilai teras persatuan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda semasa berkenan berangkat bercemar duli ke Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam dan Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

     

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda