Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman akan jadi penentu – Buffon

    MONACO, 3 Mei – Penjaga gol veteran Juventus, Gianluigi Buffon, berharap pengalaman yang dimiliki pasukannya mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk menghadapi serangan AS Monaco dalam persaingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

    Pertembungan itu cukup menarik perhatian kerana membabitkan perhitungan antara pasukan yang memiliki serangan paling hebat menentang skuad yang memiliki pertahanan terbaik di Eropah.

    Monaco yang dikendalikan Leonardo Jardim menampilkan corak serangan berbisa apabila menghampiri 150 gol dalam semua persaingan dan berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan liga Perancis musim ini.

    Setakat ini, Monaco menjaringkan tiga gol dalam empat aksi kalah mati Liga Juara-Juara dengan menewaskan Manchester City dan Borussia Dortmund, sekali gus mengesahkan slot separuh akhir buat kali pertama sejak 2004.

    Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon ketika menghadiri sesi latihan menjelang pertembungan dengan Monaco. – AFP
    Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon ketika menghadiri sesi latihan menjelang pertembungan dengan Monaco. – AFP

    Berbeza dengan Juventus, gergasi Itali itu belum dibolosi gol di peringkat sama, termasuk berjaya mengekang barisan penyerang terbaik dunia ketika menentang Barcelona di peringkat suku akhir.

    “Saya fikir dalam dua perlawanan, 180 minit, pengalaman akan memihak kepada kami. Mereka masih belum matang dan saya turut mempunyai perasaan sama ketika masih muda.

    “Monaco pasukan yang berani, mereka suka menyerang dan mereka lakukannya dengan cukup baik. Jurulatih mereka ada falsafah menyerang dan pemain mereka berjaya melaksanakannya,” kata Buffon. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda