Oleh Nurdiyanah R.
Perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan antara yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia setiap tahun dan bagi kebanyakan orang, Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang penuh dengan kegembiraan kerana mereka dapat berkumpul bersama keluarga dan sahabat-sahabat terdekat.
Namun, bagi mereka yang menyambut Hari Raya di luar negara atau di perantauan, mereka sering menghadapi cabaran yang besar untuk merayakan perayaan ini. Kesukaran untuk pulang ke kampung halaman atau berada bersama keluarga mereka di tempat atau negara asal mereka, menjadikan Hari Raya di perantauan merupakan pengalaman yang sukar dilupakan.
Berbekalkan semangat kegigihan dan keyakinan dalam mencari sumber rezeki, mereka tetap berjuang untuk merayakan Hari Raya dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur.
Kesungguhan ini menjadi prinsip yang dipegang teguh oleh seorang penjahit baju Melayu dan baju kurung yang berasal dari India, Niyaz Ahmad. Meskipun tidak berkesempatan untuk merayakan Hari Raya bersama keluarga di India selama beberapa tahun terakhir, Niyaz tetap memegang teguh prinsipnya dan berjuang tanpa henti.
“Selama 27 tahun saya bekerja di sini, sejujurnya hanya sekali saya pernah menyambut Hari Raya bersama ahli keluarga di India sepanjang tempoh berkenaan. Namun perkara tersebut tidak mematahkan semangat ini untuk mencari rezeki yang halal di perantauan.
“Alhamdulillah, sepanjang berhari raya di negara ini, saya sungguh berasa gembira dengan adanya masyarakat Brunei dan juga masyarakat India yang turut berjuang mencari sumber rezeki di sini dalam sama-sama meraikan hari kemenangan ini dengan penuh keamanan dan kedamaian. Mereka semua ibarat keluarga kedua saya,” tambahnya yang bertugas di salah sebuah syarikat tempatan di Daerah Tutong.
Manakala salah seorang anak beliau yang juga bekerja di salah sebuah restoran di ibu negara, Mohammad Abu Zaid, turut bersyukur kerana berpeluang merayakan Hari Raya Aidilfitri di tanah air kita sejak lima tahun yang lalu. Kesyukuran beliau semakin bertambah apabila adanya acara kunjung-mengunjungi yang diadakan antara keluarga dan sahabat-handai. Perasaan gembira itu pasti terus mengalir dalam diri Mohammad Abu Zaid dan turut menjadi kenangan manis di Hari Raya Aidilfitri.
“Hari Raya di sini begitu meriah, lampu berwarna-warni menyerikan setiap kediaman pada waktu malam. Selain itu, saya juga turut menikmati betapa enaknya variasi hidangan di negara ini yang pastinya tidak sama di negara kami. Antara kuih yang paling saya sukai ialah kek batik dan kek tapak kuda,” ucapnya dengan kegembiraan.
Sementara itu, Parwez Alam Mohammad Mutaqim dan rakan-rakan yang turut berkhidmat di negara ini bertahun lamnya juga berkesempatan merakamkan kesyukuran apabila dipertemukan lagi pada hari lebaran.
“Mohon maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam khususnya para pelanggan yang mengenali diri kami. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya yang turut memohon doa agar semua ahli keluarga di tempat kelahirannya di India sentiasa dalam perlindungan Allah SWT di akhir perkongsiannya semasa mengadakan kunjungan di salah sebuah kediaman penduduk setempat, baru-baru ini.
Kesimpulannya, menyambut Hari Raya di perantauan memang bukan perkara yang mudah bagi kebanyakan orang. Namun, dengan keyakinan dan kesungguhan, kita tetap dapat menikmati keindahan dan kebahagiaan Hari Raya bersama-sama keluarga dan sahabat-sahabat terdekat. Mari kita jadikan semangat ini sebagai inspirasi untuk terus berjuang demi kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!