Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman beraya di perantauan

    KUALA LUMPUR – Memandangkan kebanyakan negara ketika ini mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan arahan perintah berkurung atau darurat dalam mengekang penularan pandemik COVID-19, sambutan 1 Syawal bagi anak perantauan juga terkesan.

    Sesi panggilan video yang disiarkan secara langsung melalui program Ruang Bicara bertajuk Dendang Perantau terbitan Bernama TV, baru-baru ini sedikit sebanyak memberi gambaran akan sambutan Hari Raya golongan itu di negara tuan rumah.

    “Biasanya, memang tiada sambutan hari raya di Madinah bagi penuntut Malaysia kerana kami semua akan pulang ke tanah air.

    Tapi, oleh kerana ada sebilangan penuntut yang terkandas, jadi kami 30 orang penuntut dari Malaysia merancang untuk meraikannya bersama-sama,” kata penuntut tahun akhir Universiti Islam Madinah, Arab Saudi  Shahefudin Ahmad.

    “Sekurang-kurangnya, suasana ini membantu mengurangkan rasa rindu kepada keluarga. Hari Raya kali ini juga disambut sederhana dengan mengamalkan kebiasaan baharu dan mengikut arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

    Pelajar Malaysia yang tidak dapat pulang ke tanah air untuk beraya menggunakan platform digital seperti Zoom, untuk bersua dengan ahli keluarga untuk melepaskan kerinduan. – Agensi
    Rakyat Malaysia yang menyambut Hari Raya di Perancis, mengambil kesempatan bergambar dengan latar belakang Menara Eiffel dengan mengenakan pakaian raya. – Agensi

    Malah, bagi mewujudkan suasana harmoni, anak jati Perlis ini berkata aktiviti bergotong-royong turut diadakan dengan menyediakan pelbagai juadah Hari Raya seperti soto, sate, nasi himpit, kuah kacang, koktel dan teh tarik.

    “Walaupun sambutannya hanya dibuat secara kecil-kecilan ekoran langkah Arab Saudi yang melaksanakan perintah berkurung sejak hari raya pertama, tetapi ia cukup meriah.

    “Kami juga sempat melakar kenangan dengan mengambil gambar mengikut penjarakan sosial yang ditetapkan,” katanya yang bakal pulang ke tanah air pada Jun nanti.

    Bagi penuntut tahun akhir dalam jurusan Advance Material Science and Engineering dari Universiti Sungkyunkwan, Korea Selatan, Syed Ahmad Nabil Syed Ahmad Ibrahim, suasana sambutan Aidilfitri tetap dirasai apabila dapat menunaikan solat sunat bersama rakan-rakannya walaupun hanya di rumah berbanding ke masjid terdekat seperti kelazimannya sejak tiga tahun lepas.

    “Kami sangat gembira dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bertakbir biarpun berlainan daripada kebiasaan.

    “Kami juga berkumpul membuat pelbagai aktiviti seperti memasak pelbagai juadah Hari Raya seperti kuah kacang, nasi himpit, sate dan ketupat palas.

    Berkat beraya di perantauan, kemahiran memasak kami juga sudah semakin baik,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.

    Perasaan sama turut dirasai pasangan suami isteri, Shukri Azmi dan Qis Elias yang telah menetap di Beijing, China sejak dua tahun lepas.

    “Kami hanya beraya di rumah memandangkan masjid masih belum dibenarkan beroperasi. Mujur, kawasan yang kami menetap ini ada komuniti Islam yang lain jadi kami ambil kesempatan bertukar-tukar juadah. Dapatlah merasa seperti ada keluarga di sini,” katanya.

    Sementara itu, warga Malaysia yang telah menetap di Warkwickshire, United Kingdom sejak 16 tahun lepas, Nora mengakui sudah membuat perancangan untuk pulang ke Malaysia bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta tahun ini.

    “Sepatutnya tahun ini kami sekeluarga sambut Hari Raya di Malaysia kerana cuti sekolah, bagaimanapun keadaan tidak mengizinkan akibat COVID-19,” katanya yang bersyukur dapat meraikan sambutan lebaran bersama keluarga mentuanya di United Kingdom biarpun dalam keadaan bersederhana.

    “Tahun ini, ia sedikit berbeza, kami hanya duduk di rumah. Hanya masak dan makan sendiri. Tetapi, saya ada juga berkongsi juadah dengan jiran-jiran terdekat.

    “Pusat ibadah juga tidak beroperasi jadi kami semua hanya mendengar khutbah dan tazkirah melalui dalam talian. Solat sunat Aidilfitri pula hanya dilakukan di rumah,” katanya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda