Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Dalam memberikan pengalaman kepada mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) untuk berdakwah dan berkongsi ilmu kepada saudara-saudara baharu, Program Mukhayyam Islamiy akan diadakan pada 16 dan 17 September depan Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait.
Program lawatan ilmiah itu dianjurkan oleh Nadi Al-Qawi Al-Amin, Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi serta alumni-alumni KUPU SB, dan Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar 23/24 dengan kerjasama Bahagian Unit Dakwah, Daerah Belait.
Ia menyasarkan kepada saudara-saudara baharu di mana peserta merupakan ahli-ahli dan ahli jawatankuasa Nadi Al-Qawi Al-Amin dalam jurusan Pendidikan Islam, Usuluddin, Syariah dan seumpamanya.
Program juga merupakan program lawatan dakwah sambil belajar kepada saudara-saudara baharu yang mana ia akan dihadkan kepada 41 peserta sahaja, terdiri daripada pegawai pengiring, ahli jawatankuasa dan ahli-ahli Nadi Al-Qawi Al-Amin. Bagi sasaran golongan mualaf, akan dihadkan kepada 16 orang.
Selain itu, program juga akan diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti Klinik Al-Fatihah, aktiviti bimbingan, aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti kreativiti.


