Saturday, December 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman berharga kaki pancing

    Oleh Nudiyanah R. –

    Jiwa kesabaran insan-insan kaki pancing ini memang hebat. Bukan saja sabar menunggu berjam-jamnya menanti sang ikan memakan umpan, bahkan hujan panas, penat lelah, lapar dahaga, gigitan nyamuk langsung tidak begitu diendahkan.

    Tidak kurang hebatnya pengalaman tercucuk sengat, duri, tulang, mata kail, gigi ikan dan pelbagai lagi sama sekali tidak mematahkan semangat ‘bekarih bejarih belurih’ si pemancing tegar bahkan deruan adrenalin golongan ini cetus perjuangan mereka bagaikan tiada noktah. Apabila disuruh orang lain yang tidak minat memancing duduk menemani bersama-sama, pasti tidak sampai setengah jam sudah mengusut ingin pulang.

    “Bagi para penggemar aktiviti memancing pastinya memiliki jiwa kepuasan tersendiri dalam meniti hobi ini, namun kepuasan diri ini bukanlah semata-mata di saat hanya memperolehi tangkapan ikan dalam kuantiti sedikit atau banyak bahkan yang lebih menimbulkan kepuasan ialah detik-detik di mana proses perjalanan ataupun pengalaman seharian melakukan aktiviti memancing, itu lebih berharga daripada segala-galanya.”

    Itulah antara kata-kata luahan peribadi yang dikongsikan oleh salah seorang peminat tegar sukan memancing anak tempatan, Awang Khairolazlan bin Haji Puasa atau lebih senang disapa dengan panggilan Abit, semasa berkesempatan ditemui Media Permata, baru-baru ini.

    TAK KENAL MAKA TAK CINTA

    Pepatah Melayu ada menyebut ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’, setelah mengenali apa itu kegiatan memancing daripada ahli keluarga terdekat sejak di usia ketika masih di bangku sekolah rendah lagi, Abit berkata dirinya sering mengikuti bapa saudaranya yang begitu gemar memancing ke hutan-hutan dan anak-anak sungai suatu ketika dahulu namun pendedahan itu lebih kepada penggunaan peralatan tradisional.

    Awang Khairolazlan atau lebih senang dengan panggilan Abit, berkata kepuasan dirinya dalam memancing bukanlah semata-mata di saat hanya memperolehi tangkapan tetapi juga detik-detik proses perjalanan ataupun pengalaman seharian melakukan aktiviti memancing itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Bagi spesies yang unik, kebiasaannya beliau akan mengamalkan ‘tangkap dan lepas’ namun terlebih dahulu diambil ukuran, ditimbang dan diabadikan dalam gambar sebagai kenangan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    “Lama-kelamaan minat memancing itu semakin membara menjadi hobi santai sehingga ke detik ini. Dalam meniti keseronokan hobi ini, saya sentiasa memantapkan diri dengan mendalami pelbagai teknik dan kaedah dalam meniti warna-warni dunia memancing dari semasa ke semasa.

    “Sekitar tahun 2011 dan 2012, saya mula berjinak-jinak menguasai penggunaan peralatan memancing lebih moden sehingga menjurus ke teknik casting hingga sekarang,” ujarnya.

    Abit turut mengungkapkan, hobi memancing yang dilakukannya selama ini lebih kepada sukan memancing atau kegiatan untuk rekreasi, yang lumrahnya hanya dilakukannya seharian pada setiap hujung minggu seperti hari Ahad. Kegiatan itu, jelasnya sudah menjadi aktiviti rutin mingguan demi mengimbangi kehidupan dan amanah antara keluarga, kerjaya dan hobi.

    UMPAN TIRUAN JADI PILIHAN

    Selain peralatan-peralatan asas pancing seperti joran, kekili (reel) sama ada spinning reel atau baitcaster, dan tali pancing yang sentiasa menjadi pelengkap dunia hobi insan berusia 39 tahun itu, salah satu peralatan asas yang memainkan peranan penting dalam melakukan aktiviti memancing dengan teknik casting ialah penggunaan umpan tiruan atau lure.

    Antara jenis umpan tiruan yang sering digunakan ialah jenis umpan hard lure dan juga jenis soft lure atau soft bait.

    Umpan tiruan jenis hard lure diperbuat daripada kayu atau bahan plastik keras dalam pelbagai saiz dan bentuk untuk menyerupai ikan, katak atau mangsa lainnya. Sementara itu, umpan tiruan jenis soft lure merupakan jenis yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pemancing. Ia diperbuat daripada bahan plastik lembut seakan getah dan selalunya digabungkan penggunaannya bersama mata kail tunggal atau jighead.

    “Aplikasi soft lure kebanyakannya untuk memikat ikan-ikan yang berada di kawasan dasar seperti ikan kerapu dan ikan barah-barahan manakala umpan jenis hard lure pula akan menumpukan tangkapan bagi ikan-ikan di kawasan permukaan laut iaitu kelompok ikan-ikan pelagik,” tambahnya lanjut yang juga menjalankan perusahaan sampingan dalam penjualan produk barangan keperluan kaki pancing di negara ini di bawah Syarikat Abit Fishing Adventure Tackle Shop sejak beberapa tahun lalu.

    Apabila ditanya mengenai kelebihan memancing menggunakan umpan tiruan, Abit berkata ia bukan sahaja mempunyai kelebihan seperti umpan sentiasa tersedia untuk digunakan bila-bila masa sahaja dan boleh digunakan lebih daripada sekali serta tidak akan busuk seperti umpan konvensional, bahkan ia secara umumnya penggunaan umpan tiruan lebih menjimatkan kos dan masa.

    AMALAN ‘TANGKAP DAN LEPAS’

    Lazimnya dalam melakukan hobi memancing ini, Abit lebih kepada amalan ‘tangkap dan lepas’. Berbicara mengenai amalan ‘tangkap dan lepas’ itu, beliau menyatakan ia merujuk kepada kebiasaannya setelah ikan berjaya dinaikkan, ukuran atau berat ikan akan diambil dan diabadikan di dalam gambar sebagai kenangan, dan dengan pantas ikan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.

    “Jika spesies ikan yang dapat dimakan, saya akan membawanya balik ke rumah untuk dimasak langsung namun jika diperolehi dengan kuantiti yang banyak selebihnya akan terus dijual. Tetapi bagi spesies yang unik, kebiasaannya akan dilakukan ‘tangkap dan lepas’ namun terlebih dahulu akan ditimbang dan diabadikan dalam gambar sebagai kenangan,” ujarnya santai.

    CIPTA KENANGAN BERSAMA CORETAN ILMU

    Segala keseronokan yang dirasai oleh insan yang juga seorang guru peringkat sekolah menengah mengajar subjek Art & Design dalam menyelami aktiviti memancing ini bukanlah untuk kepuasan peribadinya semata-mata namun hakikatnya setiap detik proses pengalaman terutamanya ketika berjaya melakukan tangkapan ikan itu sering diabadikan di dalam gambar dan video untuk dimuatnaik dalam pelbagai platform media sosial terutamanya Instagram dan juga YouTube.

    “Setiap gambar mahupun video tangkapan yang dipaparkan dalam Instagram dan YouTube saya mempunyai cerita tersendiri. Cerita itu yang mencoretkan ringkasan ilmu untuk santapan minda mereka yang mempunyai minat yang sama,” ucapnya tulus.

    UTAMAKAN KESELAMATAN TERLEBIH DAHULU

    Apabila diajukan pertanyaan mengenai tip keselamatan ketika memancing, Abit antaranya berkata perkara keselamatan ini suatu hal yang perlu dilakukan sebelum berhasrat meneruskan aktiviti memancing tidak kiralah bagi para pemancing yang sudah lama menceburinya mahu pun baharu berjinak-jinak dalam aktiviti ini.

    “Memancing adalah aktiviti luar yang menyeronokkan, justeru para pemancing harus mengutamakan keselamatan ketika berada di lokasi pancing sebagai usaha untuk mengelak kejadian yang tidak diduga,” tekannya.

    Pemakaian jaket keselamatan adalah salah satu tip keselamatan, tekan beliau, lebih-lebih lagi jika memancing menggunakan perahu atau kawasan lokasi perairan yang dalam.

    “Semak dan ketahui ramalan keadaan cuaca terlebih dahulu sebelum turun memancing.

    Jangan memancing dalam keadaan cuaca yang buruk lebih-lebih lagi ribut petir atau hujan lebat,” tekannya lagi.

    Begitu juga, salah satu perkara yang perlu diambil perhatian untuk tip keselamatan ialah membawa peralatan-peralatan kecemasan seperti ubatan-ubatan dan first aid, air mineral, lampu suluh, wisel dan telefon bimbit.

    Abit turut menambah, para pemancing juga diperlukan untuk memakai kasut yang bersesuaian untuk melindungi kaki daripada benda tajam di mana jua awda memancing, elakkan memancing dengan hanya berselipar lebih-lebih lagi jika memancing di kawasan semak-samun, hutan atau pesisir pantai yang berbatu dan licin.

    Gunakan topi, skarf muka, baju lengan panjang, seluar panjang dan sarung tangan untuk melindungi diri daripada sinaran matahari yang boleh mengakibatkan sunburn di samping mengelak daripada sebarang kecederaan yang kemungkinan berlaku ketika bergerak aktif melakukan proses memancing.

    “Memakai kaca mata hitam semasa memancing bukanlah sekadar membuatkan si pemancing itu kelihatan lebih segak dan bergaya, tetapi fungsi utamanya adalah untuk melindungi mata kita daripada cahaya matahari dan sebarang objek yang boleh mendatangkan kecederaan pada mata.

    “Hakikatnya, bukan itu sahaja, sepasang kaca mata hitam dengan kanta polarized dapat membantu si pemancing untuk melihat kelibat ikan atau objek, di bawah permukaan air terutama air yang jernih, dengan lebih jelas lagi berbanding kaca mata hitam biasa,” kongsinya sebelum mengakhiri temubual bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda