Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman bernilai sertai SYB

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Kegembiraan dan keyakinan jelas dilihat di setiap wajah seramai sembilan orang belia yang berjaya menamatkan Program ‘Star Youth Baker’ (SYB) selama sebulan di bawah kendalian Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) semasa Majlis Penutup Program SYB yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    “Walaupun tidak begitu lama mengikuti penempatan kerja di Bake Culture Bakery, namun ia telah mewujudkan suatu pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan kerana melaluinya segala pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pembuatan pastri, kek dan roti dapat diperolehi daripada para pakar masakan dalam bidang bakeri yang sebenar,” ujar Awang Muhammad Muqri bin Azman, 17, salah seorang peserta program berkenaan dan juga selaku penerima sijil dan hadiah pencapaian terbaik sepanjang program itu berlangsung.

    Jelas beliau lagi, program ini juga melatih diri untuk menjadi seseorang yang berdisiplin dari segi masa dan etika kerana melalui pendedahan alam pekerjaan yang sebenar semasa penempatan kerja selama seminggu itu.

    “Selain itu, ia juga dapat membuka minda dan membuktikan kepada masyarakat di negara ini bahawa kaum lelaki juga mempunyai potensi yang besar dalam mengikuti bidang masakan setaraf dengan kaum perempuan,” tambah beliau yang kini merupakan salah seorang pelajar Tingkatan Enam Atas di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB).

    Beliau menyatakan lagi bahawa melalui program tersebut ia sudah setentunya dapat mewujudkan persekitaran yang baik semasa mengikuti penempatan kerja, antaranya dapat menjalinkan hubungan silaturahim dengan ramai kenalan di Bake Culture Bakery, walaupun sebahagian pekerja di sana berlainan agama tetapi nilai-nilai persahabatan tetap terjalin melalui perkongsian ilmu dalam bidang bakeri.

    Awang Muhammad Muqri (kiri) penerima sijil dan hadiah pencapaian terbaik dalam Program SYB bersama rakannya, yang juga merupakan salah seorang peserta program berkenaan semasa Majlis Penutup Program SYB baru-baru ini.
    Dayang Nor Arrifah semasa ditemui berkata cutinya pada bulan Disember sangat menyeronokkan kerana banyak pengetahuan dan pengalaman diperolehinya daripada Program SYB.

    Selain itu, beliau juga mengimpikan untuk membuka perniagaan sambilan suatu hari nanti berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehinya semasa mengikuti program SYB tersebut.

    Manakala seorang lagi peserta Program SYB, Dayang Nor Arrifah binti Haji Hasnaf, 17, turut mengungkapkan perasaan gembira kerana mengikuti Program SYB ini.

    Menurut beliau, ia merupakan salah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan sepanjang musim cuti persekolahan lalu kerana banyak pengetahuan dalam bidang masakan dapat diperolehi dari para pakar bakeri yang bertauliah seperti ilmu mengenai teknik-teknik masakan dengan betul dan mengaplikasi resepi baru dalam masakan bersama para peserta yang lain.

    “Berjaya menamatkan Program SYB ini adalah di atas sokongan daripada ibu bapa yang tidak putus-putus selama ini. Melalui pengalaman dan pengetahuan dalam Program SYB, ia telah mewujudkan suatu inspirasi kepada saya untuk bercita-cita membuka kedai bakeri di masa akan datang,” ujar beliau yang merupakan salah seorang pelajar Tahun 12 di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) kepada Media Permata lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda