Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman di Ulu-ulu Resort, Taman Negara Ulu Temburong

    Oleh Musafir

    SATU-SATUNYA kemudahan penginapan bertaraf hotel jauh di pedalaman Taman Negara Temburong ialah sebuah tempat penginapan yang diberi nama Ulu-Ulu Resort yang dibuka pada tahun 2008. Pembukaan resort ini adalah berikutan penswastaan kemudahan tersebut yang dibina oleh Jabatan Perhutanan. Untuk sampai ke tempat tersebut, awda boleh menggunakan bot ekspres dari jeti di Bandar Seri Begawan menuju ke Bangar. Kemudian awda boleh menggunakan bas ke jeti di Batang Duti dan seterusnya menaiki temuai atau perahu panjang untuk pergi ke Ulu-Ulu Resort.

    Resort ini terletak di tebing Sungai Temburong dan Sungai Belalong dan di tengah-tengah hutan tropika Taman Negara yang keluasannya lebih 50,000 hektar. Dari keluasan tersebut, hanya 100 hektar saja yang dibenarkan untuk lawatan. Ini adalah bagi memelihara keaslian hutan serta flora dan faunanya yang masih utuh. Malahan kegiatan para pelawat dikawal rapi agar tidak mencemari hutan ini dengan aktiviti-aktiviti yang boleh saja mengancam keasliannya.

    Terdapat sebuah pusat penyelidikan yang sering menerima pelawat dari institusi pengajian tinggi dan pengkaji-pengkaji alam semula jadi dari seluruh dunia. Keseluruhan kawasan kajian juga dipelihara dengan begitu baik. Malah Taman Negara ini menjadi sebuah taman semula jadi yang sangat sesuai bagi pelancong dan pelawat yang ingin menikmati suasana dan udara hutan tropika yang bersih dan damai. Malah Taman Negara ini memang sesuai untuk mempromosi aktiviti ekopelancongan yang berasaskan keaslian alam semula jadi yang sempurna dan masih terpelihara.

    Kepentingan pemeliharaan hutan

    Pengalaman dua malam tiga hari di Ulu-Ulu Resort ini memberikan kesedaran betapa kita perlu memelihara hutan untuk dinikmati bukan saja oleh generasi hari ini malah generasi akan datang yang akan mewarisi hutan ini sebagai khazanah yang perlu dipelihara. Resort in mempunyai 17 buah bilik dan lapan vila persendirian atau untuk kegunaan keluarga.

    Kami diberitahu tidak ada perancangan bagi menambah kemudahan bilik semata-mata untuk mengawal jumlah pelawat yang tinggal di sini pada satu-satu masa. Bilik-biliknya cukup selesa dilengkapi dengan bilik air, alat penghawa dingin, kipas angin dan pemanas air. Antara kemudahan lain disediakan ialah sebuah dewan makan, sebuah bilik mesyuarat, pejabat Taman Negara, dewan teater yang boleh memuatkan 60 orang dan sebuah dewan serba guna.

    Antara aktiviti yang disediakan di Ulu-Ulu Resort ialah trekking menuju ke Canopy Walk Taman Negara, satu pengalaman menaiki bukit yang membawa kepada satu kawasan di mana satu struktur jambatan besi setinggi 60 meter dibina bagi membolehkan pelawat menaiki puncak yang tertinggi untuk menikmati pemandangan hutan yang terbentang luas sejauh mata memandang. Bagi mereka yang mempunyai fobia tentang ketinggian, adalah dinasihatkan untuk membatalkan saja hasrat untuk naik ke puncak tertinggi itu. Sebuah papan tanda disediakan sebagai peringatan kepada pelawat mengenai larangan-larangan tertentu (bawah).

    Beberapa buah temuai menurunkan para pelancong di Ulu-Ulu Resort untuk memulakan lawatan ke Taman Negara Ulu Temburong.

    Satu ruang pameran menunjukkan jenis-jenis kayu yang terdapat di Taman Negara.
    Aktiviti berkayak merupakan kegiatan yang sering dilakukan sementara gambar kanan menunjukkan temuai yang digunakan untuk menerokai Taman Negara ini.
    Pemandangan dari sebuah temuai kemudahan penginapan di Ulu-Ulu Resort.
    Temuai digunakan bagi mengangkut pelawat yang bertolak dari jeti di Batang Duri.

    Aktiviti berkayak

    Aktiviti berkayak juga diadakan di satu kawasan sebelah hujung tempat penginapan dan ini sering dilakukan oleh kumpulan pelawat-pelawat yang ingin merasakan pengalaman berkayak. Sebelum memulakan aktiviti, taklimat diberikan oleh pihak penganjur dan alat-alat keselamatan seperti topi dan jaket keselamatan hendaklah sentiasa dipakai. Di samping itu beberapa temuai juga disediakan untuk memantau keadaan dan bersedia untuk memberikan pertolongan jika berlaku kecemasan.

    Bagi mereka yang berminat dalam aktiviti memerhati burung, Taman Negara ini merupakan tempat yang terbaik bagi menyaksikan berbagai spesies burung hutan yang jarang sekali ditemui. Kegiatan lain yang sering dilakukan ialah berjalan dalam hutan di waktu malam dengan diiringi oleh jurupandu yang sangat berpengalaman. Pelbagai bunyi unggas malam kadangkala memberikan pengalaman yang menyeramkan terutama bagi mereka yang baru pernah menyertai aktiviti ini.

    Satu kesedaran

    Pengalaman berkunjung dan tinggal beberapa hari di Ulu Temburong ini memberikan kesedaran tentang betapa kita perlu sama-sama menjaga dan menghargai hutan alam semula jadi bukan sahaja untuk kita nikmati akan keindahannya tetapi yang penting ianya menjadi habitat bagi pelbagai jenis haiwan, burung, serangga dan tumbuh-tumbuhan yang unik.

    Mereka juga mempunyai hak untuk tinggal di bumi ini dalam suasana aman tanpa gangguan. Taman Negara Ulu Temburong satu bukti nyata tentang usaha pemeliharaan hutan yang terbaik yang perlu dicontohi oleh negara-negara yang telah banyak memusnahkan hutan mereka bagi tujuan pembangunan dan komersil.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda