Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman jadi pengajaran

    Pengalaman pahit gagal dalam percintaan, sedikit masa lalu membuatkan pelakon sensasi, Tasha Shilla, serik berkongsi kisah peribadi.

    Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Gemilang itu berkata, dia kini lebih berhati-hati untuk berkongsi isi hati, malah sedapat mungkin cuba mengelak daripada terlalu terbuka meluahkan kisah peribadi.

    “Dahulu, saya teruja dan ghairah berkongsi apa sahaja perkara, termasuk hal peribadi. Mungkin kerana usia masih muda, saya tidak berfikir panjang, sedangkan tanpa saya sedari, tindakan itu sebenarnya memakan diri. Namun, sekarang saya lebih selesa hanya berkongsi perkara berkaitan kerjaya. Selebihnya, biar saya simpan sendiri. Cara itu membuatkan saya lebih bahagia,” kata pelakon yang kini menyerlah menerusi drama, Kau Yang Pertama siaran saluran televisyen.

    Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak, 32, berkata pengalaman berdepan kemurungan juga membuatkan dia lebih berhati-hati memilih kawan. Biarpun ramai yang ingin mendekati kerana statusnya sebagai selebriti, Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga.

    “Apa yang berlaku membuka mata saya untuk mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Ketika saya jatuh dan sakit, keluarga menjadi nadi yang menguatkan semangat saya untuk kembali bangkit meneruskan hidup. Dahulu, saya seronok setiap kali keluar dan dapat bersama kawan. Memang kawan saya ramai, tetapi sekarang saya belajar bataskan pergaulan. Saya juga tidak lagi gemar membuang masa di luar. Lebih baik saya bersama keluarga dan apabila ada masa terluang, saya akan membaca buku, terutama berkaitan motivasi,” katanya. – Agensi

    Tasha Shilla lebih suka bersama keluarga daripada membuang masa di luar. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda