Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Mohd Wafiy Wazien bin Mohd Johari, graduan Jurusan Apprenticeship in Cookery & Service di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), melahirkan rasa syukur dan semangat tinggi setelah berjaya menamatkan pengajian yang banyak membentuk dirinya dengan kemahiran praktikal serta pengalaman industri sebenar.
Menurutnya, sepanjang pengajian beliau berdepan cabaran untuk menyeimbangkan antara kelas dan kerja intensif, namun berjaya mengatasinya melalui pengurusan masa yang ketat dan komunikasi berkesan bersama penyelia.
“Antara pengalaman paling bermakna ialah apabila saya diberi tanggungjawab mengurus stesen semasa masa paling sibuk. Ia mengajar saya untuk kekal tenang di bawah tekanan serta pentingnya kerja berpasukan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa model pembelajaran berasaskan amali atau ‘hands-on learning’ telah banyak membantu meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang masakan, di samping memperkukuh kemahiran lembut dalam layanan pelanggan.
“Bagi saya, semua tenaga pengajar memainkan peranan besar dalam membimbing kami, bukan sahaja dalam aspek kemahiran tetapi juga disiplin diri, kualiti dan nilai-nilai profesional dalam bidang hospitaliti,” tambahnya.
Antara kemahiran penting yang diperoleh ialah pengurusan kos makanan (food cost management) dan amalan kebersihan berdasarkan standard HACCP, yang menurutnya menjadikan beliau aset berharga kepada mana-mana operasi perniagaan makanan.
Mengulas lanjut, beliau berkata minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan serta permintaan tinggi terhadap tenaga kerja terlatih dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta pelancongan tempatan menjadi pendorong utama untuk terus maju dalam kerjaya ini.
“Pesanan saya kepada pelajar lain supaya terus berusaha, ambil inisiatif dan jangan takut untuk bertanya. Anggap setiap cabaran di dapur sebagai peluang pembelajaran,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang hospitaliti dan dalam jangka panjang bercita-cita menjadi Chef de Partie atau Supervisor yang dihormati, sekiranya dikurniakan rezeki.


