Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengalaman keluarga jadi inspirasi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Dibesarkan dalam keluarga nelayan dan mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan dalam perikanan, Khoo Soon Ming mengambil peluang untuk mereka bentuk mesin pemberi makanan ikan automatik sekali gus untuk menyahut cabaran menuju ke arah dunia transformasi digital.

    Pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Brunei (UTB) 2023 yang mempamerkan projek Design and Fabrication of an Automatic Fish Feeder pada Pameran Projek UTB 2023, hari ini, menjelaskan bahawa walaupun untuk menyiapkan projek itu berdepan dengan pelbagai cabaran tapi ia tidak mematahkan semangatnya agar idea tersebut dapat dikongsikan kepada pengunjung.

    Semasa ditemu bual media, beliau turut mengongsikan, projek berkenaan mengambil masa satu tahun untuk disiapkan yang mana dalam tiga bulan terakhir setelah pemilihan dalam reka bentuk terbaik dibuat, proses seterusnya adalah fabrikasi

    “Walaupun berhadapan cabaran untuk menyiapkan projek ini tapi dengan sokongan daripada keluarga, rakan, pensyarah UTB dan penyelia projek tahun akhir, ia berjaya disiapkan,” tambahnya.

    Beliau seterusnya berharap dengan projek yang dipamerkan ini, ia akan dapat dipertingkatkan dan diperbaiki lagi seperti penggunaan motor yang lebih kuat dan cepat serta melakukan kajian tentang jumlah pelet yang dikeluarkan.

    Khoo Soon Ming bersama projek yang dihasilkannya.
    Awang Muhammad Noorur Rahman menunjukkan projek yang diharap akan dapat dikete-ngahkan ke pasaran dalam negara.

    Manakala itu, Awang Muhammad Noorur Rahman bin Abuzar, pelajar tahun akhir Sekolah Reka Bentuk telah memilih untuk mereka Innovative Design of Aesthetic and Functional Furniture yang digelar Nord.m.

    Ketika ditemui di pameran itu, beliau menjelaskan, mereka bentuk kerusi untuk projek tahun akhir dalam reka bentuk produk menawarkan beberapa kelebihan.

    “Kerusi adalah objek harian, memberikan kesan langsung kepada keselesaan dan kesejahteraan pengguna,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan, projek itu mengambil masa lebih lima bulan di mana Projek Capstone adalah selama setahun tetapi secara teknikal ia adalah 28 minggu yang mana 14 minggu setiap semester.

    Selepas menyiapkan projek berkenaan, beliau berharap akan dapat mencipta reka bentuk kerusi modular yang memenuhi keperluan pengguna dan menyediakan pengalaman tempat duduk yang memuaskan.

    “Ke langkah seterusnya, rekaan yang dihasilkan akan mendapatkan pengiktirafan dan pengesahan dalam komuniti reka bentuk selain menyasarkan penggunaan praktikal kerusi, maklum balas pengguna yang positif, dan adanya peluang kerjaya yang berpotensi melalui kejayaan projek,” jelasnya.

    Beliau turut berharap akan dapat meningkatkan portfolionya dengan contoh reka bentuk inovatif dan praktikal yang menarik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda