Oleh Jessica Damiano –
Mungkin terdapat rangka setinggi 20 kaki di halaman jiran sebelah dan zombi di halaman seberang jalan, namun hakikatnya, perasaan seram sebenar sering tersembunyi di dalam ‘kubur tidak bertanda’ di taman-taman yang kelihatan tenang, mungkin juga di taman awda sendiri.
Saya akui, selama bertahun-tahun, kebun saya telah menyimpan pelbagai pengalaman yang menakutkan, bermula dengan pokok ivy Inggeris dan alas batu kecil yang saya warisi apabila berpindah ke rumah ini, sehinggalah kepada pokok pudina yang saya tanam terus di tanah tanpa menyedari ia akan menghantui saya hingga ke hari ini.
Baru-baru ini, saya terpaksa mengupah tukang landskap untuk membuang rumpai Liriope jenis menjalar yang saya sangka jenis berumpun. Malangnya dia terpaksa bekerja lebih tiga jam menggunakan cangkul burung.
Dalam proses itu, banyak tanaman kekal dan bunga di sekelilingnya turut musnah dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum tanaman baharu matang dan kebun itu kembali menyerlah seperti dahulu.
BANYAK YANG BOLEH DIPERSALAHKAN
Beberapa senario ngeri di taman, seperti kesilapan menanam pudina saya, jelas berpunca daripada diri sendiri. Namun ada juga yang berpunca daripada pihak luar seperti nurseri yang tersilap melabel tumbuhan atau tupai yang ‘menanam’ spesies invasif di antara tumbuhan tempatan kita.
Walau apa pun, tugas membersihkannya tetap menjadi tanggungjawab kita. Tiada siapa yang lebih memahami hal ini daripada John dan Mary Richardson dari Port Jefferson Station, New York, yang menulis kepada saya tentang satu kejadian apabila mereka dinasihatkan menggunakan serbuk cili cayenne di sekeliling tanaman sayur bagi menghalau haiwan perosak.



“Kami menaburnya dengan gembira dan banyak di setiap batas tanaman,” kata mereka, sambil menambah mereka menabur semula selepas setiap kali hujan bagi memastikan ‘perlindungan berterusan.’
Tidak lama kemudian, pasangan itu mendapati pokok lada tumbuh subur di semua batas sayur dan bunga mereka. “Kami tidak terfikir untuk menggunakan serbuk cayenne yang telah dikisar dan bukannya serpihan lada kering, yang sebenarnya biji benih,” kata mereka.
Bercakap tentang benih mengingatkan saya pada kisah seorang pembaca yang bingung dengan buah tomato yang kerap hilang dari pokoknya setiap minggu. Suatu hari, selepas memeriksa tahap kemasakan sebiji tomato besar yang cantik, dia memutuskan untuk menunggu sehari lagi sebelum memetiknya untuk dijadikan sandwic. Namun keesokan harinya, tomato itu juga hilang. Hari itu hari memotong rumput, katanya, dan tidak lama kemudian dia mendapati ‘tukang landskap mempunyai biji tomato di gigi mereka.’
Saya juga pernah menerima surat daripada seorang pembaca terdesak yang berdepan masalah rumpun buluh jenis menjalar yang ditanam oleh jirannya. Akar tumbuhan itu telah menembusi bawah pagar pemisah dan muncul di lapisan kolam renangnya. Saya tertanya-tanya sama ada dia terpaksa berpindah.
‘KESILAPAN PEMULA PALING BESAR’
Alyssa Sirek dari Granbury, Texas pula mengakui, “Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam bidang hortikultur, saya telah melakukan kesilapan permulaan paling besar,” katanya.
“Saya meletakkan tempat makan burung betul-betul di atas taman berbatu yang baru dihias dan terlupa bahawa biji burung itu sebenarnya biji benih.
“Antara burung yang menabur biji seperti konfeti dan beberapa hujan lebat Texas, taman berbatu yang bersih itu bertukar menjadi keadaan huru-hara secara tidak sengaja,” katanya. Tidak mahu menggunakan racun perosak, Sirek menghabiskan berjam-jam mencabut anak benih satu persatu, sambil menahan gigitan semut, luka di lutut dan ego yang tercalar.”
Beberapa bulan kemudian, katanya, anak benih liar masih muncul sekali-sekala, terutama selepas ribut.
Alie Q Mac dari Middle Island, New York pula berkongsi kisah malangnya melalui Facebook. Dengan harapan projek menyeronokkan bersama anak-anak, dia memesan larva kumbang kura-kura melalui pos.
“Saya melepaskannya ke pokok zucchini, kemudian baru tahu ia sebenarnya kumbang labu,” katanya. “Mereka memusnahkan semua tanaman saya.”
Ada kalanya, ia sebahagian daripada pekerjaan. Alice Raimondo, penyelaras makmal hortikultur di klinik diagnostik Cornell Cooperative Extension di Riverhead, New York, berkata dia sering melihat perkara pelik apabila pemilik rumah membawa tumbuhan berpenyakit dan serangga aneh untuk dikenal pasti.
Pernah sekali, katanya, seorang wanita membawa kalungan yang sedang dibuat daripada kon pain yang dikutipnya.
“Dia suka rupa kon tersebut, tetapi selepas beberapa ketika, dia perasan kon-kon itu bergerak,” katanya. Rupa-rupanya ia ulat beg, sejenis perosak yang membalut diri dalam ‘beg’ yang dibuat daripada daun dan bahagian tumbuhan lain.
“Wanita itu benar-benar berasa jijik,” tambah Raimondo.
Seperti yang dibuktikan oleh para pekebun berani ini, satu kesilapan kecil boleh bertukar menjadi kisah ngeri yang menjadi pengajaran. Namun mungkin pengajaran sebenar ialah walaupun dengan niat terbaik, alam semula jadi kadangkala memberi kita kejutan dalam bentuk ‘muslihat’, bukannya ‘hadiah’. – AP

