Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru) kini menjadi sebuah syarikat gergasi yang mampu menyalurkan jalur Internet hampir ke seluruh Negara Brunei Darussalam.
Perubahan dari segi perkhidmatan dan teknologi juga nampak ketara sejak beberapa tahun kebelakangan hasil usaha kakitangan TelBru di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, David Kay dalam memberi yang terbaik kepada masyarakat Brunei.
David Kay yang akan menamatkan perkhidmatannya esok (31 Oktober) sempat berkongsi pengalaman beliau selama lima tahun bersama TelBru, menceritakan pelbagai cabaran dan rintangan dilalui selama memegang jawatan sejak 1 November 2012.
Katanya, sejak lima tahun kebelakangan ini pelbagai cabaran dihadapi bagi membangunkan sebuah syarikat telekomunikasi terbaik seperti sekarang ini.
Beliau turut mengongsikan pengalaman beliau mengenai isu-isu yang dihadapi semasa pertukaran TelBru diswastakan, yang mana beliau melahirkan perasaan sangat kecewa apabila pelbagai isu harus dihadapi terutama menyelesaikan masalah pelanggan.

Selain masalah itu, syarikat tersebut juga menghadapi masalah isu sambungan Internet, kekurangan tenaga kerja dan pengurusan struktur yang perlu diperbaiki sebelum itu.
Menurutnya, memegang jawatan di Syarikat TelBru merupakan pengalaman yang mencabar.
“Memimpin dalam industri telekomunikasi bukannya mudah, sebelum ini ada pada masanya rasa kecewa jika masalah timbul terutama memperbaiki kemahuan pelanggan. Walau bagaimanapun, dari setahun ke setahun, kami berjaya mengatasi pelbagai masalah dengan baik dan mula membangun. Ini kerana kakitangan TelBru mula mempunyai kemahiran dan pengalaman di bawah program-program pendidikan bagi kakitangan TelBru.
“Kita lihat TelBru sekarang, kita sedar pelbagai perubahan dan peningkatan nampak dilihat dari segi pengurusan tenaga manusia, produk, perkhidmatan dan infrastruktur telekomunikasi, bangunan-bangunan TelBru diubahsuai bahkan diperbaiki bagi keselesaan pelanggan.
“Tambahan lagi, ini termasuk penubuhan Unit Inovasi yang membolehkan TelBru membangun dengan pelbagai produk dan teknologi terbaru yang diperkenalkan pada masa hadapan,”
ujarnya.
Tambahnya lagi, mengenai permintaan maklumat, kelajuan akan sentiasa ada dan mereka akan mampu memberinya kerana mereka mempunyai kelajuan Internet tertinggi, pelbagai produk dan perkhidmatan akan ditawarkan nanti menggunakan kuasa jalur lebar sebab itu Unit Inovasi berkenaan akan mengeluarkan produk-produk terbaru melalui teknologi terkini.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada ahli-ahli lembaga pengarah yang memberi mereka ruang untuk menguruskan syarikat tersebut dan memberi sokongan dalam memberi panduan strategi selama ini yang membawa kejayaan.
Baru-baru ini juga, seramai 126 orang graduan TelBru dari pelbagai jurusan menerima ijazah mereka dan 25 di antaranya diiktiraf dengan Sijil Program Pembangunan Pemimpin (LDP) yang menerima Ijazah Sarjana Eksekutif dalam Pengurusan (Kepimpinan) daripada Asia e-University.
Program itu adalah sebagai batu loncatan bagi syarikat, penting untuk mendapatkan penggerak sesuai bagi masa depan TelBru, terutama pengurusan di dalam syarikat dan cara menyelesaikan masalah pelanggan.
Antara pencapaian David Kay dalam industri telekomunikasi Brunei termasuk pemasangan rangkaian Fibre-to-the-Home Brunei yang membolehkan saluran jalur lebar berkelajuan tinggi.
Di bawah kepimpinannya, David Kay juga telah melaksanakan program pendidikan dalam syarikat dan juga program pendidikan bersama institut pendidikan untuk membangun kapasiti sumber tenaga manusia dalam bidang ICT.