BEVERLEY – Morag, seekor lembu Highland yang mengagumkan dengan bulu karamelnya, melangkah keluar dari bangsal utama di Dumble Farm di utara England dan bersedia untuk bertemu tetamu-tetamunya.
Pengunjung telah datang dari jauh ke ladang berhampiran Beverley di timur Yorkshire, bukan untuk membeli susu, yogurt atau keju, tetapi untuk menikmati pelukan bersama Morag dan rakan-rakannya.
Fiona Wilson dan rakan-rakan penternaknya di Dumble Farm mula menawarkan sesi pelukan pada bulan Februari apabila menjadi jelas bahawa tekanan ekonomi dalam penternakan tenusu moden telah semakin menjadi-jadi.
“Sesetengah orang suka berinteraksi dengan anjing atau kucing atau kuda dan sesetengah orang yang lain mendapati bahawa lembu adalah haiwan yang mereka mahu bersama,” kata Wilson kepada AFP.
“Orang ramai datang demi kesejahteraan mereka. Dapat menghilangkan rasa kebimbangan ketika bersama haiwan adalah hampir sama seperti terapi.”
Pemilik Dumble Farm berusaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan mereka kerana kejatuhan mendadak dalam harga susu dan inflasi yang tinggi telah melumpuhkan perniagaan penternakan tenusu mereka.
Kesusahan ekonomi telah memaksa para petani untuk meninggalkan industri tersebut secara beramai-ramai selama berpuluh-puluh tahun.
Menurut kajian ringkas Perpustakaan House of Commons, UK mempunyai 196,000 ladang tenusu pada 1950. Menjelang 1995, hanya 35,700 ladang yang tinggal.
Harga susu yang lebih rendah dan peningkatan kos tenaga, bahan api, makanan ternakan dan baja sejak tercetusnya peperangan di Ukraine 20 bulan lalu telah menjadi faktor yang memburukkan lagi keadaan bagi lebih banyak petani lagi.
Menurut kaji selidik terkini terhadap pembeli susu utama, Lembaga Pembangunan Pertanian dan Hortikultur, yang mewakili petani, menganggarkan terdapat 7,500 pengeluar tenusu di Britain pada Oktober 2023.
Bagi Dumble Farm, banjir dalam enam daripada tujuh tahun yang lalu merupakan satu cabaran tambahan, menyebabkan ladang itu ditenggelami air selalunya selama berbulan-bulan pada satu-satu masa.
Wilson berkata dia dan rakan-rakannya di ladang itu, termasuk suami dan abangnya, bekerja 14 jam setiap hari dalam setahun sambil mengalami kerugian.
“Mustahil untuk hidup seperti itu,” katanya. “Tiada masa depan. Kami tidak membuat sebarang kemajuan.”
Pada Januari 2022, para petani memutuskan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan menjual kawanan lembu tenusu mereka kecuali lima ekor lembu yang tidak mampu mereka tinggalkan.
“Haiwan itu adalah kawan kita sebenarnya, dengan sifat yang lembut dan mesra,” ujar Wilson.
“Kami fikir mungkin kami boleh cuba menceburkan diri dalam perusahaan pelukan lembu, hanya untuk mendapatkan sedikit wang tambahan di samping skim pemuliharaan kami dan juga untuk melibatkan orang ramai dengan apa yang kami lakukan di sini.”
Ladang tersebut menyiapkan lembu-lembu itu selama berbulan-bulan sebelum menjemput pelanggan untuk datang dan memeluknya – dan lembu-lembu itu kelihatan gembira untuk memenuhi permintaan mereka.
“Lembu-lembu tersebut adalah haiwan yang bersifat ingin tahu. Ia berminat apabila orang datang untuk melihatnya,” kata Wilson.
Pengalaman tersebut, yang turut merangkumi aktiviti pendidikan mengenai pemuliharaan dan pertanian mampan, menarik perhatian pasangan, keluarga dan pencinta lembu dari seluruh negara.
Tiket berharga AS$63 seorang habis terjual beberapa bulan lebih awal.
Di dalam bangsal, lembu-lembu yang sedang bermalas-malasan gembira membiarkan dagunya digaru-garu dan bulu lembutnya disikat oleh para pengunjung.
Steven Clews berkata, dia membeli pengalaman itu untuk isterinya yang menggemari lembu Highland.
“Saya suka semua haiwan, terutamanya yang boleh dipeluk, jadi dapat memeluk seekor haiwan yang besar adalah sangat hebat,” katanya. “Ia sangat mudah untuk disikat,” kata isterinya, Emma Clews.
“Saya tidak sangka saya akan berasa sungguh santai, tetapi lembu-lembu tersebut sangat mesra. Ia sangat terapeutik.”
Apabila sesi tamat, pengunjung diiring ke luar kandang lembu di mana Morag menanti.
Morag mendongakkan kepalanya ke langit ketika pengunjung menggosok dan membelai dadanya yang berbulu lembut, menyebabkan sahabat manusianya tersenyum gembira. – AFP