Oleh Pg Fairol RMF
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Dua pelanggan bertuah QAF Eurokars Sdn Bhd mendapat peluang keemasan dan pengalaman berharga apabila mereka dihantar oleh pengedar model kereta Porsche itu ke Jerayawara Dunia Porsche – Pengalaman Pemanduan di Litar Lumba Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Mereka ialah Awang Muhammad Tajus Sulhi bin Haji Muhammad Salleh dan Haji Muhd Amirul Shahreen bin Haji Zainal yang berpeluang menguji pandu pelbagai model kereta Porsche daripada edisi SUV sehingga kereta sport dalam program sehari di litar itu.
Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual mereka di Pusat Porsche Brunei di Beribi hari ini, yang mana mereka memuji layanan baik yang diberikan oleh pasukan Porsche, bermula dengan mengalu-alukan kedatangan mereka dan ketika taklimat latihan yang memperincikan mengenai prestasi, model dan aspek keselamatan kereta Porsche.
Awang Muhammad Tajus Sulhi mengatakan, pengalaman di sana sememangnya tidak dapat dilupakan, kerana pada hari latihan, mereka diajar mengawal kenderaan, memandu pada kelajuan tinggi dan mengenali lebih lanjut ciri-ciri canggih pelbagai model Porsche.
“Latihan ini membolehkan kami mempraktikkannya dan meningkatkan keselamatan memandu di jalan raya,” kata Awang Muhammad Tajus Sulhi, yang gembira meraih pengalaman berharga itu dan bercadang membeli kereta Porsche di masa hadapan.