Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengamal media Sabah perlu sokongan dalam Belanjawan 2025

    KOTA KINABALU, 8 OKT – Belanjawan 2025 diharap mengambil kira keperluan pengamal media dan industri persuratkhabaran di Sabah bagi memastikan industri berkenaan terus berupaya memainkan peranannya menyumbang kepada pembangunan negara secara berkesan.

    Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui berkata pengamal dan industri media di negeri itu perlu diberi galakan berupa insentif dan subsidi memandangkan prasarana telekomunikasinya masih ketinggalan berbanding di Semenanjung disebabkan keadaan geografi dan topografinya.

    “Kita berharap menerusi Belanjawan 2025 ini akan ada pakej dan insentif khusus bagi pengamal media, contohnya rebat bil telefon bimbit ditingkatkan kadarnya bagi pengamal media di Sabah berbanding di Semenanjung.

    “Mungkin juga diberi pertimbangan diberikan subsidi khas bagi pembelian komputer riba dan gajet lain yang digunakan wartawan,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata dua perkara itu perlu diberi pertimbangan, mengambil kira kos sara hidup di Sabah yang jauh lebih tinggi, sedangkan kadar upah dan penggajian pengamal media tempatan di negeri itu jauh lebih rendah.

    Katanya, ketidakseimbangan kadar gaji pengamal media antara Sabah dengan Semenanjung, antaranya disebabkan tiada kesatuan sekerja di negeri itu yang memperjuangkan nasib mereka menerusi Perjanjian Bersama (CA) seperti di Semenanjung.

    Pada masa sama, Lichong turut mencadangkan supaya kerajaan berusaha meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di Sabah memandangkan ketika ini masih banyak kawasan tidak mempunyai liputan Internet yang baik.

    Beliau juga berharap kerajaan memperkenalkan pendekatan proaktif bagi menyelamat dan membangunkan industri media di Malaysia keseluruhannya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda