Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 DIS – Sebagai tanda penghargaannya, Bank Baiduri telah mengadakan Majlis Penghargaan Media yang dihadiri oleh pengamal media tempatan yang terdiri daripada wartawan, penyunting serta pempengaruh daripada sektor media cetak, elektronik dan dalam talian di negara ini, baru-baru ini.
Dengan tema Galactic, majlis berlangsung di Dewan Bankuet, Hotel J di mana, majlis itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengamal media untuk bersua muka dengan rakan-rakan media yang lain, malah turut dijamu dengan hidangan dan dihiburkan dengan permainan serta cabutan bertuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dalam ucapan alu-aluan antara lain telah menjelaskan, dalam era di mana maklumat berada di hujung jari, adalah lebih penting untuk menghargai nilai profesional kewartawanan.
Beliau turut menekankan kepentingan media dalam mendidik orang ramai seterusnya merealisasikan satu matlamat Wawasan Brunei 2035.
Selain itu, beliau merakamkan rasa terima kasih kepada wartawan, editor dan profesional media yang telah bekerja keras memperkaya komuniti dan mengukuhkan asas kepercayaan yang semua harapkan.
