IPOH, 7 MEI – Barisan pemain Perak FC diberi kebebasan untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pasukan bagi meneruskan kerjaya bola sepak mereka.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata beliau enggan memberi harapan kepada para pemain mengenai urusan pengambilalihan pasukan itu.
“Jadi, pemain bebas untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu Abdul Azim memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya tiga entiti komersial yang berminat untuk mengambil alih pemilikan Perak FC.
Perkembangan itu memberi harapan baharu buat penyokong The Bos Gaurus susulan pengumuman penarikan diri daripada saingan Liga Super musim depan akibat beban kewangan mencecah hampir RM40 juta sejak tiga tahun lepas.
Sementara itu, Abdul Azim berkata rundingan bersama pihak ketiga yang mewakili entiti komersial berkenaan telah dibuat pada minggu lepas.
Beliau berkata antara perkara penting yang dibincangkan adalah untuk mengadakan pertemuan segera dengan pemilik entiti berkenaan bagi mengetahui
secara terperinci urusan pengambilalihan itu.
“Perbincangan berlangsung lancar dan kita harapkan pertemuan dengan pemilik entiti dapat disegerakan.
“Perkara ini penting untuk mengetahui syarat-syarat yang diletakkan serta sejauh mana minat mereka untuk mengambil alih Perak FC,” katanya. – Bernama
