PUTRAJAYA, 20 Mac – Pengambilan guru-guru agama interim (sementara) dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak adalah bagi mengisi 401kekosongan perjawatan di sekolah kebangsaan di negeri itu, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Memandangkan tiada guru dari Sarawak yang dapat mengisi kekosongan itu, maka telah dipersetujui dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk membuka iklan guru interim ini kepada sama ada calon dari Sabah atau Semenanjung Malaysia,” katanya.
Membidas Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang mempertikaikan pengambilan guru agama dari Semenanjung ke Sarawak, Mahdzir berkata penghantaran guru agama dari Semenanjung telah dilaksanakan sejak 1963 dan tidak pernah timbul sebarang masalah sebelum ini.
“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana setiap tahun jika tidak cukup guru, kami hantar, malah kami berunding dengan kerajaan negeri,”katanya pada sidang media selepas majlis penerangan Strategi Pelaksanaan Pendidikan Bahasa Inggeris ke Arah Kemenjadian Murid, di sini hari ini.
Menurut laporan media, ketika persidangan Dewan Rakyat pada 15 Mac lepas,Chong yang juga Anggota Parlimen Bandar Kuching berkata guru pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia “mencemarkan pemikiran anak muda generasi baharu Sarawak” serta “membawa falsafah dan pemikiran yang sempit ke Sarawak”.
Mahdzir berkata sebagai Anggota Parlimen yang berpendidikan, Chongtidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama dengan majoriti rakyat beragama Islam. “Walaupun beliau pembangkang, jangan sampai buat kenyataan seperti itu. Dia membuat kenyataan tidak profesional,” kata Mahdzir. – Bernama