Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengambilan HECAS 2020 bermula 3 Februari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Pengambilan Pusingan Pertama HECAS 2020 dalam talian bagi kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan permohonan biasiswa kerajaan ke luar negara di bawah Kementerian Pendidikan bagi tahun akademik 2020/2021 akan bermula pada 3 Februari ini dan ditutup pada 22 Februari jam 10 pagi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, kursus-kursus yang ditawarkan termasuklah peringkat ijazah pertama, diploma tertinggi kebangsaan dan diploma Level 5.

    Setiap pemohon ke IPTA, dibenarkan memilih sehingga empat kursus di universiti manakala bagi pemohon biasiswa kerajaan ke luar negara di bawah kendalian Bahagian Biasiswa, mereka hanya dibenarkan memilih satu kursus sahaja. Pemohon biasiswa kerajaan wajib memilih sekurang-kurangnya satu kursus ditawarkan IPTA dan lima kursus adalah maksimum. Jumlah kursus maksimum yang boleh dipohon adalah dua kursus bagi setiap IPTA, sehubungan itu, pemohon dinasihatkan menghantar atau e-mel dokumen-dokumen diperlukan oleh institusi berkenaan sebelum atau tidak lepas tiga hari waktu bekerja selepas tarikh tutup HECAS.

    HECAS dibukakan kepada pemegang kad pintar Brunei Darussalam yang sah termasuk kuning, ungu dan hijau dan tidak akan memproses permohonan di bawah skim Latihan Dalam Perkhidmatan atau permohonan orang asing yang tidak mempunyai kad pintar yang tersebut di atas. Pemohon boleh memakai keputusan yang diramal (Predicted Result) untuk memohon ke IPTA (UBD, UNISSA & UTB) atau permohonan Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri di bawah kendalian Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan. Pemohon yang berjaya akan diberi tawaran bersyarat (Conditional Offer) oleh institusi berkenaan.

    Selepas pendaftaran, para pemohon dikehendaki membuat bayaran tunai di kaunter-kaunter pembayaran yang telah ditetapkan di keempat-empat daerah: Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-Perkhidmatan di Kementerian Pendidikan, Pusat Tingkatan Enam Tutong, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Belait dan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
    Untuk keterangan lanjut, pemohon boleh melayari laman sesawang Kementerian Pendidikan di http://moe.gov.bn atau laman sesawang HECAS yang baharu di hecas.moe.gov.bn atau berhubung terus melalui e-mel ke ask.hecas@moe.gov.bn atau melalui nombor telefon 2381992 atau 2381224 pada waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda