Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengambilan pekerja online susut

    KUALA LUMPUR, 29 Mac – Aktiviti pengambilan pekerja secara dalam talian terus menyusut pada suku pertama tahun ini, masing-masing berkurangan lapan peratus bagi Januari dan Februari.

    Ini merupakan penurunan selama 12 bulan berturut-turut bagi pengambilan secara dalam talian, demikian menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI).

    Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah Abhijeet Mukherjee berkata aktiviti pengambilan pekerja dilihat tidak memberangsangkan meskipun ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 4.7 peratus pada 2018 dan unjuran pertumbuhan kukuh oleh Bank Negara Malaysia.

    “Permulaan suku pertama tahun ini agak lembap kerana majikan kekal berhati-hati untuk menggajikan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun permintaan dan penggajian terhadap profesional berkemahiran teknologi dan industri teknologi maklumat (IT) terus meningkat berikutan sektor itu merekodkan pertumbuhan tahunan yang positif bagi 11 bulan berturut-turut.

    Bagi suku yang sama, pemasaran digital dan sains data merupakan yang paling dikehendaki selepas bidang kemahiran.

    Permintaan daripada organisasi besar dan Perusahaan Kecil dan Sederhana terhadap pekerja berkemahiran teknologi semakin meningkat dan pelebaran jurang kemahiran merupakan satu daripada halangan utama yang dihadapi pemilik perniagaan.

    Sektor IT, Penyedia perkhidmatan Telekom/Internet dan Proses Penyumberan Luar Perniagaan dan Perkhidmatan Teknologi Maklumat menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun yang mendadak dalam kalangan industri dengan merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 25 peratus pada Februari. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda