Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei
  • Pendapat
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Penganggur antara terlibat kes jenayah, kenapa?

Terdapat satu artikel yang disiarkan dalam Media Permata bertarikh 10 Jun lalu mengenai seorang penganggur warga tempatan telah ditahan oleh pihak polis kerana terlibat kejadian curi.

Apa yang menarik perhatian saya untuk menimbulkan satu persoalan di sini, mengapa mereka yang berstatus menganggur antara terlibat dalam kes jenayah?

Mungkin tanpa diberitahu sesiapa, pasti kita akan mengetahui sendiri sebabnya, kemungkinan berdepan dengan kesukaran perbelanjaan berikutan tiada sumber pendapatan tambahan pula kenaikan harga barangan yang berlaku sekarang ini.

Meskipun mereka bersalah tetapi boleh dikatakan dan mungkin mereka sudah berusaha untuk mendapatkan pekerjaan namun berdepan kesukaran mendapatkannya, sekali gus mendorong mereka melakukan jenayah seumpamanya.

Peluang-peluang kerja yang diuar-uarkan di mana-mana seolah-olah hanya ‘janji manis’ yang mengatakan memerlukan ramai pemohon namun akhirnya jawatan kosong berkenaan sudah terisi oleh mereka yang ditetapkan dan hanya sebagai membuktikan syarikat itu aktif di negara ini.

Dalam masa yang sama dorongan ibu bapa dan ahli keluarga juga memainkan peranan untuk membantu dan menyokong mana-mana ahli keluarga yang masih menganggur.
Namun ada keluarga yang kurang memberikan sokongan. Apa yang menyedihkan baru saja memulakan satu bidang yang disukai sudah dipandang serong sehingga mematahkan semangat mereka untuk meneruskannya.

Sudahlah berdepan dengan ma-salah kewangan, janganlah diberatkan lagi dengan pandangan serong yang menjatuhkan semangat mereka.

Diharap pihak relevan memberikan bantuan kepada mereka yang berusaha untuk mencari pekerjaan sama ada dengan membukakan peluang pekerjaan yang lebih banyak walau hanya dengan gaji rendah.

Begitu juga hakislah pandangan negatif ke atas mereka dan berikan mereka peluang kerana nasib kita hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Ahli Teropong

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda