Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganggur ditipu sindiket penipuan kerja sambilan dalam talian, hilang RM43,351

    SIBU, 4 DIS – Seorang lelaki warga tempatan berusia 30an mengalami kerugian RM43,351 selepas menjadi mangsa terbaharu jebakan penipu yang menawarkan kerja sambilan secara atas talian dengan janji komisen yang lumayan.

    Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki itu mulai terjebak selepas mengenali seorang wanita melalui aplikasi Messenger Facebook pada 27 November lepas.

    Beliau berkata apabila lelaki itu berminat dengan tawaran kerja yang dikemukakan, dia telah diberikan pautan Youtube dan diarah menekan butang ‘suka’ serta menghantar kepada orang lain, maklumat mengenai barangan atau produk yang dijual, sebagai tugasannya.

    Zulkipli berkata selepas tugasan itu selesai, lelaki berkenaan memperoleh komisen RM190, namun bagi tugasan seterusnya dia tidak lagi menerima bayaran komisen kerana dikatakan telah melakukan kesilapan, dan dikehendaki membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

    “Lelaki itu telah membuat tujuh transaksi pemindahan wang berjumlah RM43,351 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.

    “Setelah selesai membuat pembayaran suspek mengarahkan lelaki itu membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM20,894 namun dia mengatakan wang simpanan miliknya tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda