TANGKAK, JOHOR, 10 JUN – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di Johor hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Gambir awal Jun lepas.
Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Iecah Junus, 34, di sebuah rumah di Taman Cahaya, Bukit Gambir antara pukul 3:30 petang hingga 5:30 petang pada 2 Jun lalu.
Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian memohon agar tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Amirah turut membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai bagi menjalankan pemeriksaan.
Majistret kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 8 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan patologi, toksiologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini kerana melakukan khianat dengan api apabila membakar sembilan kenderaan di pekarangan rumah mentuanya di Kampung Pengkalan Kampung Durian Chondong dekat sini pada 3 Jun lalu.
Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Jun. – Bernama
