Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganggur mengaku bersalah rompak wanita guna parang

    KOTA BHARU, 4 APRIL – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bahru, Kelantan, Malaysia, hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita di sebuah kedai runcit pada Mac lepas.

    Tertuduh, Mohd Fauzan Mat Ali, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dengan bersenjatakan sebilah parang sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM1,000 terhadap seorang wanita berusia 48 tahun, di sebuah kedai runcit di Kampung Belukar Jalan Hospital, Panji, di Kota Bahru, pada 11:30 malam 15 Mac lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kerana dipercayai ibu bapa tertuduh merupakan warga Thailand dan mahkamah menetapkan 18 April sebagai tarikh fakta kes serta jatuh hukuman. – Bernama

    Penganggur Mohd Fauzan Mat Ali, 31, (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita di sebuah kedai runcit pada Mac lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda