Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penganggur menyamar polis untuk merompak dipenjara 12 tahun

    KUALA LUMPUR, 27 DIS – Mahkamah Sesyen hari ini, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang penganggur selepas mengaku salah atas dua pertuduhan merompak dua wanita Indonesia dengan menyamar sebagai polis pada Oktober dan November lepas.

    Hakim Egusra Ali memerintahkan Mohd Khairee Mat Yasin, 35, dipenjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 9 November lepas.

    Tertuduh didakwa merompak dua buah telefon bimbit, sebuah tablet pintar dan wang RM270 milik Anis Mohd Mollah di kawasan industri di Jalan Kepong pada 9:20 pagi, 20 Oktober lepas.

    Dia turut didakwa merompak Ijum Sholehah di Jalan Segambut pada 10:30 pagi, 5 November lepas dengan melarikan sebuah telefon bimbit, pasport dan tiket penerbangan ke Indonesia serta wang RM600 milik mangsa.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam pada prosiding itu, merayu dikenakan hukuman rendah atas alasan menanggung keluarga. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda