Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengangguran belia global cecah tahap terendah dalam 15 tahun

    GENEVA, 12 OGOS – Pengangguran belia global kini berada pada tahap terendah dalam 15 tahun, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

    Namun, tidak semua rantau yang telah mencatatkan pemulihan sepenuhnya daripada kesan pandemik COVID-19.

    Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan jumlah belia berusia 15 hingga 24 tahun yang tidak bekerja, tidak melanjutkan pelajaran atau tidak menjalani latihan (NEET) kekal membimbangkan. ILO turut menyatakan bahawa pemulihan ekonomi pasca-pandemik tidak berlaku secara seragam di semua rantau.

    “Belia di beberapa wilayah, serta ramai wanita muda, masih belum peroleh manfaat pemulihan ekonomi,” kata ILO dalam satu kenyataan.

    Pada 64.9 juta, jumlah keseluruhan belia yang menganggur di seluruh dunia pada 2023 adalah terendah sejak permulaan abad ini. Menurut ILO, kadar pengangguran belia pada tahun lalu adalah 13 peratus, tahap terendah dalam tempoh 15 tahun dan penurunan daripada 13.8 peratus yang dicatat sebelum pandemik pada tahun 2019.

    “Angka ini dijangka menurun lagi kepada 12.8 peratus tahun ini dan tahun hadapan,” tambah kenyataan itu.

    Namun begitu, ILO menekankan bahawa kadar pengangguran belia berbeza-beza mengikut wilayah. Di negara-negara Arab, Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik, kadar pengangguran belia pada 2023 adalah lebih tinggi berbanding pada 2019. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda