LONDON, 15 OGOS – Kadar pengangguran di United Kingdom (UK) melonjak ke paras tertinggi dua tahun dalam tempoh tiga bulan hingga akhir Jun, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, ketika negara itu bergelut dengan inflasi yang tinggi dan krisis kos sara hidup.
Bilangan individu yang tidak bekerja meningkat kepada 4.2 peratus berbanding 4 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga akhir Mei, kata Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS).
ONS berkata, peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah individu yang menganggur dalam tempoh enam bulan.
Inflasi tahunan UK kini berada pada 7.9 peratus, yang tertinggi dalam kalangan negara G7.
Kementerian Kewangan UK menyatakan bahawa kadar pengangguran Britain lebih rendah berbanding Kanada, Perancis, Itali, Sepanyol dan kawasan Euro.
Walaupun kadar pengangguran adalah yang tertinggi sejak tempoh Julai hingga September 2021, kementerian negara itu menambah bahawa ia kekal ‘rendah mengikut piawaian sejarah.’
“Penurunan dalam pekerjaan dalam tempoh tiga bulan hingga Jun dan peningkatan kadar pengangguran akan disambut baik oleh Bank of England sebagai petanda bahawa keadaan pasaran buruh sedang mengalami penurunan,” kata Ruth Gregory, timbalan ketua ekonomi UK di Capital Economics. – AFP


