Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengangguran meningkat 3.7 peratus di UK

    LONDON, 13 DIS – Kadar pengangguran United Kingdom (UK) telah meningkat 3.7 peratus, menurut data rasmi yang keluar hari ini.

    Kadar pengangguran meningkat dalam tiga bulan hingga Oktober daripada 3.6 peratus dalam tiga bulan hingga akhir September, kata Pejabat Statistik Negara (ONS) dalam satu kenyataan.

    Pada masa yang sama, inflasi yang tinggi terus memberi kesan ke atas gaji, membawa kepada mogok besar-besaran di seluruh Britain.

    Sam Beckett, Ketua Statistik Ekonomi ONS, berkata bilangan hari bekerja yang hilang meningkat sekali lagi pada Oktober, ke tahap bulanan tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

    Bertindak balas terhadap data dan pemogok yang menuntut kenaikan gaji besar, Menteri Kewangan, Jeremy Hunt berkata ‘mana-mana tindakan yang berisiko menjejaskan ekonomi hanya akan menambah penderitaan untuk semua orang dan membantut prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang.’

    Beliau menambah dalam satu kenyataan, “Sementara pengangguran di UK masih mencecah tahap rendah, inflasi tinggi terus membelenggu ekonomi di seluruh dunia.”

    Inflasi tahunan UK mencecah 11 peratus, paras tertinggi dalam empat dekad, selepas kos tenaga dan harga makanan meningkat.

    ”Dengan ekonomi UK kemungkinan besar mengalami kemelesetan, kami menjangka pengangguran bakal meningkat mulai separuh tahun pertama tahun depan,” kata Yael Selfin, ketua ahli ekonomi di KPMG UK. – AP

    Pembeli-belah berjalan di depan papan jualan di tingkap sebuah kedai di Jalan Oxford di London. Kadar pengangguran UK telah meningkat 3.7 peratus, menurut data rasmi yang keluar kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda