Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengangguran rendah, inflasi meningkat di UK

    LONDON, 14 MAC – Pengangguran di Britain kekal menghampiri paras terendah dalam sejarah tetapi gaji masih lagi rendah, menurut data rasmi pada hari ini menjelang pembentangan bajet.

    Kadar pengangguran stabil pada 3.7 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga akhir Januari berbanding tiga bulan hingga akhir Disember, kata Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) dalam satu kenyataan.

    Walau bagaimanapun, gaji tidak termasuk bonus meningkat 6.5 peratus tetapi turun 3.5 peratus apabila inflasi diambil kira.

    “Walaupun kadar inflasi telah turun sedikit, ia masih mengatasi pertumbuhan pendapatan, bermakna gaji sebenar terus menurun,” kata Pengarah Perangkaan Ekonomi ONS, Darren Morgan pada Selasa.

    Britain kekal dibelenggu mogok kerana pekerja membantah gaji yang rendah seiring dengan harga pengguna yang meningkat.

    Data itu diterbitkan sehari sebelum Menteri Kewangan, Jeremy Hunt akan mendedahkan belanjawan terbaharunya, dengan latar belakang krisis kos sara hidup yang telah mencetuskan mogok di seluruh Britain.

    Doktor hospital UK kelmarin telah memulakan mogok tiga hari, yang juga akan menyaksikan guru, kakitangan kereta api dan penjawat awam melancarkan tindakan serupa, sebagai usaha sektor industri yang bertepatan dengan pembentangan bajet baharu.

    Inflasi tahunan UK telah reda dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi kekal melebihi 10 peratus, lima kali ganda kadar yang disasarkan oleh Bank of England.

    “Esok pada pembentangan bajet, saya akan menetapkan bagaimana kita akan pergi lebih jauh untuk mengurangkan inflasi, mengurangkan hutang dan mengembangkan ekonomi, termasuk membantu lebih ramai orang untuk kembali bekerja,” kata Hunt.

    Kadar inflasi UK, walaupun menurun baru-baru ini, kekal menghampiri paras tertinggi empat dekad berikutan lonjakan bil tenaga selepas pengeluar gas utama, Rusia menyerang Ukraine setahun lalu. – AFP

    Seorang doktor memegang sepanduk ketika dia menyertai mogok meminta untuk peningkatan pembayaran gaji di luar Hospital St Thomas di Westminster di London. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda