Pengangguran UK meningkat 4.1 peratus

LONDON, 15 SEPT – Kadar pengangguran Britain meningkat melebihi empat peratus pada Julai disebabkan kesan sampingan ekonomi akibat pandemik koronavirus, data rasmi menunjukkan hari ini.

Kadar meningkat kepada 4.1 peratus dalam tiga bulan sehingga akhir Julai daripada 3.9 peratus suku sebelumnya, kata Pejabat Statistik Nasional dalam satu kenyataan.

Jumlah orang yang menuntut faedah pengangguran mencecah 2.7 juta pada Ogos, meningkat hampir 121 peratus sejak Mac apabila Britain melaksanakan sekatan virus, kata ONS. Ia menambah 695,000 pekerja telah dikeluarkan daripada senarai gaji UK sejak Mac.

“Dengan jumlah pekerja dalam senarai gaji berkurangan sekali lagi pada Ogos dan pengangguran dan lebihan pekerja meningkat mendadak pada Julai, adalah jelas koronavirus masih memberikan kesan besar ke atas dunia kerja,” kata pengarah statistik ekonomi ONS Darren Morgan.

Penganalisis menjangka situasi akan bertambah buruk pada bulan-bulan akan datang apabila kerajaan pada Oktober menamatkan skim cuti dari bertugas yang telah membayar sebahagian besar gaji untuk 10 juta pekerja.

“Pekerjaan akan merosot dan pengangguran akan meningkat lebih cepat apabila skim cuti dari bertugas dihentikan pada akhir Oktober,” kata Paul Dales, ketua ahli ekonomi UK di kumpulan penyelidikan Capital Economics selepas data hari ini. Pengurangan besar dalam pekerjaan diimbangi sebahagiannya oleh sektor makanan yang menggaji ribuan pekerja tatkala COVID-19 mendesak orang membeli-belah dalam talian. – AFP